Pendidikan di peringkat ini bertujuan memberi asas kemahiran membaca, menulis dan mengura yang kukuh kepada kanak-kanak. Di samping itu, kurikulum pra-pendidikan juga menitikberatkan nilai dan kemahiran berfikir. Terdapat dua jenis sekolah rendah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Bahasa pengantar di sekolah kebangsaan adalah Bahasa Malaysia manakala di sekolah jenis kebangsaan bahasa pengantar yang digunakan ialah sama ada Bahasa Cina atau Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia merupakan mata pelajaran yang wajib di semua sekolah manakala Bahasa Inggeris diajar sebagai bahasa kedua. Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Pribumi juga diajarkan di sekolah kebangsaan. 

Dari Tahun I hingga ke Tahun VI, murid-murid dinaikkan secara automatik. Penilaian yang berterusan dibuat oleh pihak sekolah untuk mengawasi kemajuan dan memastikan mereka memperolehi kemahiran asas. 

Mengikut Akta Pendidikan 1996, pendidikan rendah yang dirancangkan selama enam tahun boleh ditamatkan di antara lima sehingga tujuh tahun. Penilaian Tahap Satu (PTS) telah diperkenalkan untuk mengenalpasti murid-murid yang berkebolehan menamatkan pendidikan rendah dalam masa lima tahun. 

PTS dilaksanakan bersama oleh Lembaga Peperiksaan dan sekolah pada akhir tahun ke atas murid-murid Tahun III di sekolah rendah dan murid-murid boleh memilih sama ada ingin menduduki ataupun tidak PTS tersebut. Murid-murid yang memperolehi markah tinggi dan layak untuk kenaikan dua kali iaitu ke Tahun V juga boleh memilih untuk tidak berbuat demikian. 

Pada akhir Tahun VI, murid-murid dikehendaki menduduki peperiksaan awam iaitu Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR). Mata pelajaran yang diuji ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Cina atau Bahasa Tamil (bagi murid-murid di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan). Unsur Penilaian Agama Fardu Ain (PAFA) turut diperkenalkan dalam penilaian UPSR bagi memastikan murid-murid Islam memahami serta mengamalkan Fardu Ain dengan cara yang betul. Penilaian ini dikendalikan sendiri oleh pihak sekolah.