Sejarah Sekolah Menengah St.Mary
(1883-1999)

        Sekolah Menengah St.Mary Sandakan merupakan sekolah yang ditubuhkan julung-julung sekali di negeri Sabah berikutan inisiatif yang diambil oleh seorang paderi Mill Hill iaitu Rev.Father Prenger dengan tertubuhnya sebuah sekolah pondok yang hanya memuatkan 5 orang pelajar pada 24 Julai 1883. Oleh sebab sambutannya tidak begitu menggalakkan, maka sekolah itu akhirnya ditutup pada akhir tahun 1885 apabila paderi Prenger diarah meninggalkan kawasan Sandakan kerana keadaan Sandakan dan kemudahan asas serta kebesihan pada masa itu dikatakan kurang memuaskan.

        Masalah penutupan sementara itu telah dapat diatasi apabila paderi Rev.Byron dihantar untuk membuka semula sekolah St.Mary dan beliau telah mencapai matlamat tersebut pada 15hb Ogos 1887. Pada masa itu, hanya seorang penuntut yang mendaftarkan diri. Setahun kemudian, sebuah bangunan tambahan telah didirikan dan bilangan pelajarnya meningkat kepada 12 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum.

        Kempen untuk mengisi tabung sekolah telah diadakan dan Byron sendiri telah berjaya memperoleh sebanyak $100 dengan menerima cabaran berkaki ayam dari sekolah hingga ke bandar Sandakan. Manakala $300 lagi dikutip hasil daripada derma penduduk tempatan. Pada tahun 1891, 4 orang Franciscan Sisters singgah di Sandakan dan menghulurkan bantuan kepada paderi Byron bagi hal ehwal pentadbiran sekolah.

        Sehingga tahun 1929, sekolah St.Mary telah berkembang dengan pesatnya di bawah pimpinan paderi Rev. Frs. David dan Crowther. Pada tahun 1929, apabila paderi Rev. Fr. Stotter mengambil alih pentadbiran sekolah, beliau telah berjaya mendirikan sebuah bangunan 3 tingkat dengan mnjadikan tingkat bawah sebagai bilik darjah, tingkat satu sebagai bilik paderi dan bilik darjah, manakala satu tingkat lagi dikhaskan untuk asrama pelajar.

        Dengan perkambangan ini, sekolah St.Mary telah dapat menghantar calon-calonnya untuk menduduki peperiksaan 'Hong Kong Junior Examination' dan telah memperoleh keputusan yang cemerlang. Dengan ini telah menjadikan St.Mary dipilih sebagai pusat rasmi peperiksaan tersebut untuk seluruh negeri Sabah.

        Buat pertama kalinya pada tahun 1931, sekolah St.Mary telah menghantar calon-calonnya untuk menduduki peperiksaan 'Cambridge Local Examinations' dan sekali lagi menerima pengiktirafan sebagai pusat untuk peperiksaan tersebut. Pada tahun 1933, majalah sekolah yang pertama telah dilancarkan oleh Rev.Fr.Lawrence Marshall Parson. Pada tahun 1934, 3 orang calon mengambil peperiksaan dan kesemuanya lulus dengan cemerlang.

        Apabila Perang Pasifik tercetus pada tahun 1983, sekolah StMary telah ditimpa malang dan bangunan sekolah dirobohkan oleh tentera Jepun. Sejurus selepas perang, Rev.Fr.Schoor cuba memulihkan pengajarannya di bawah sebuah pondok. Keadaan ini berlanjutan sehingga tahun 1952 apabila Rev.Fr.Mulders dihantar untuk memulihkan sekolah ini. Melalui derma ikhlas daripada penduduk Sandakan, Fr.Mulders berjaya mendirikan sebuah bangunan dua tingkat dengan sebelas bilik darjah (Sekarang ini Sekolah St.Mary Bandar). Pada masa yang sama, sebidang tanah terletak di batu 2 1/2 telah diperoleh dan bangunan sekolah dibina pada bulan Disember 1954 dan telah dibuka secara rasminya. Bangunan baru ini dijadikan bilik darjah dan bilik untuk paderi serta sebuah "Chapel". Pada tahun 1959, bangunan sekolah setinggi dua tingkat telah siap dibina oleh Fr.Crowther dan mata pelajaran Sains diperkenalkan. Bilangan pelajarnya telah meningkat kepada 292 orang dan terdapat 11 orang guru yang mengajar pada masa itu.

        Di samping itu, sebuah sekolah tadika telah dibina dan diberi nama "Our Lady Of Fatima School" dan kelas diadakan pada sebelah petang. Pada tahun 1962, sekolah ini diletakkan di bawah jagaan Francisean Sisters dan diberi nama "Sekolah St.Cecelia Convent" dan kemudiannya ditukar kepada Sekolah Menengah St.Cecelia.

         Pada tahun 1963, De La Selle Brothers telah dipelawa oleh Mill Hill Fathers untuk mengambil alih pentadbiran sekolah St.Mary. Bilangan pelajar pada masa itu meningkat kepada 300 orang. Rev.Bro. Fridolin telah dilantik menjadi pengetua sekolah yang pertama. Pada tahun 1964, majalah Marian Herald diterbitkan buat kali pertama dan dijual dengan harga 20sen senaskah.

        Kemudahan asas sekolah telah diperlengkapkan lagi dengan terdirinya sebuah bangunan tig tingkatyang juga memuatkan 3 makmal Sains, sebuah pejabat, bilik guru dan lima buah kelas telah diwujudkan.

        Projek ini menelan belanja sebanyak $300.00. Projek ini telah mendapat sokongan daripada bekas pelajar sekolah menengah St.Mary yang bermurah hati. Kemudian pada tahun 1967, tingkatan 6 telah diadakan buat kali pertama di Sandakan. Jumlah pelajarnya sekali lagi meningkat sebanyak 180 orang. Rev. Bro. Raphael Egan telah menjadi pengetua sekolah ini sehingga tahun 1971 dan tempatnya diambil oleh Rev.Bro.Frederick yang berkhidmat sehingga tahun 1973. Pada tahun 1973, Rev.Bro.Finin menjadi pengetua sekolah dan di bawah pimpinannya, sekolah ini telah dapat meperbaiki kemudahan untuk sukan khususnya gelanggang bola keranjang dan bola tampar telah dibina.

        Sebuah dewan dan perpustakaan juga telah dibina pada tahun1974. Pada bulan Jan 1975, Rev.Bro.Peter Ng menggantikan tempat beliau. Dewan baru itu telah dirasmikan oleh Datuk Ben Stephens dan sempena dengan perasmian itu, satu pesta makanan dan hiburan telah diadakan. Di samping itu juga, satu pameran sastera dan Sains diadakan serentak. Dewan baru itu menelan belanja sebanyak $230,000.

        Pada tahun 1976, sebuah gelanggang bola keranjang dan tenis telah dibina dengan lengkapnya. Sekolah St.Mary merupakan sekolah yang mempunyai kelengkapan yang paling baru di Sandakan pada masa itu.

        Terdapat 25 buah bilik darjah dan bilangan pelajar terus meningkat kepada 1000 orang dengan dibantu dibantu oleh 38 orang tenaga pengajar. Prestasi pelajar dalam bidang akademik dan sukan amat membanggakan.

        Dalam bidang sukan pula, St.Mary muncul sebagai johan keseluruhan dalam sukan antara sekolah-sekolah dari 1978-1980. Tahun 1983, merupakan ulangtahun ke seratus tahun untuk S.M.St.Mary. Rev. Fr.Hurley pernah berkata. "Sebagai sebuah sekolah yang tertua sekali di Sabah, St.Mary berasa bangga kerana kebanyakan bekas pelajarnya telah berkhidmat dalam pelbagai kementerian dan juga dalam bidang perniagaan dan ini membuktikan kejayaan sekolah ini menghasilkan orang-orang yang berpotensi. Beliau berharap St.Mary akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan pencapaian tersebut.

        Pada tahun 1987, De La Salle Brother telah melepaskan pentadbiran sekolah ini. Dengan itu Jabatan Pendidikan Sabah telah melantik En.ChinTet Foh sebagai Pengetua Sekolah Menengah St.Mary. Sejak beliau mengambil alih pentadbiran, beliau telah berusaha menambahkan kemudahan-kemudahan asas di sekolah ini demi meningkatkan lagi suasana pengajaran dan pembelajaran serta keselesaan masyarakat sekolah. Di antaranya ialah 'Walk Way' yang menghubungkan satu blok bangunan dengan blok bangunan yang lain; bilik komputer dengan 8 unit komputer; dua buah bengkel Kemahiran Hidup; bilik pendidikan seni; stor sukan; surau; gelanggang bola tampar; tempat letak kereta dan pintu pagar yang baru. Pada tahun 1987, PIBAGU dan Majlis Kebajikan Kakitangan Sekolah (MKKS) diwujudkan di bawah pimpinan beliau.

        Pada tahun 1995, Cik Yap Pak Shun telah mengambil alih tempat Encik Chin Tet Foh. Di bawah pimpinan beliau, model komputer yang lama telah ditukar kepada model yang lebih baru(model 386) yang ditaja oleh YB Tham Nyip Shen. Selain itu, pihak sekolah telah membeli 2 komputer multimedia yang berprosesor Intel pentium pada tahun 1996 untuk memberi peluang kepada para pelajar mendekati IT terkini.

        Pada tahun 1st JAN 1998, Laman web St.Mary yang pertama telah dibina(Unofficial) oleh bekas pelajar St.Mary. Laman ini merupakan satu tempat untuk memberikan maklumat terkini tentang perkembangan St.Mary kepada setiap orang dari seluruh dunia.

        Laman Web S.M.K. St.Mary(Official) yang beralamat di http://www.sabah.edu.my/stmary/ dilancarkan secara rasminya oleh YB Datuk Tham Nyip Shen pada 5 Februari 1999 sempena upacara penerimaan komputer. YB Datuk Tham Nyip Shen telah menyumbangkan 25 buah komputer bermultimedia kepada SMK St.Mary.

Dipetik daripada buku panduan peraturan sekolah (edisi kedua 1995)
&
Diubahsuai mengikut perkembangan terkini.

Edisi terbaru : 05 May, 1999 05:39:48 PM