Selamat
sejahtera dan jutaan terima kasih diucapkan kerana sudi melayari laman
web sekolah kami. Diharapkan dengan wujudnya laman web rasmi sekolah ini
dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dengan sebaik-baiknya. Dalam melayari
era teknologi maklumat dewasa ini , kita seharusnya bergerak seiring dengan
kemajuan masa kini. Tahun 2000 telah hampir di penghujungnya, dan agak
ketinggalan jika kita masih berada di takuk lama dalam mengendalikan proses
pengajaran dan pembelajaran.
Saya
berasa sungguh bangga dengan pembinaan laman web ini. Sekurang-kurangnya
dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak dan satu usaha pihak sekolah
dalam menjayakan sistem pendidikan ke arah mencapai misi Sekolah Bestari.
Ini bukanlah suatu tugas yang mudah dan ringan. Ia memerlukan perancangan
yang rapi dan bermula dari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih
tinggi lagi. Dalam menuju tahun 2000 ini, dunia internet makin diminati
dan menjadi suatu keperluan oleh semua lapisan masyarakat bagi mendapatkan
pelbagai maklumat berkaitan dengan Pendidikan.
Dengan
peningkatan pencapaian peperiksaan UPSR setiap tahun, jadi tidak hairanlah
guru-guru juga perlu maju ke hadapan seiring dengan era dunia alaf baru
yang memerlukan sikap kreatif, inovatif dan berdayasaing dalam meningkatkan
pencapaian. Dan pendidikan mengenai internet dan multimedia ini perlu juga
diterapkan kepada murid-murid bagi memperkembangkan minda mereka dan bersedia
menghadapi kehidupan masa depan.
Akhir
sekali, diharapkan warga sekolah ini akan terus berusaha meningkat pencapaian
akademik dan menaikkan lagi imej sekolah ini di samping menjadikan murid-murid
sebagai anak bangsa yang mempunyai jati diri, berilmu, berhemah tinggi
dan mengamalkan nilai-nilai murni sebagai persediaan diri menjadi pemimpin
generasi akan datang.
Sekian,
terima kasih.
"
BERDOA DAN BERUSAHA "
Yang
Benar,
Puan
Helen Mogindol - Lajanty
Guru
Besar,
SRK.
ST. Joseph, Penampang, Sabah.
