[Sejarah ] [Visi & Misi] [Objektif] [Lagu Sekolah] [Nilai Sekolah] [Budaya Kerja]
[Etika Kerja] [Piagam Sekolah] [Program BE] [Ikrar]



SEJARAH SEKOLAH

Pendahuluan

Logo SM Vokasional Tawau

Sekolah Menengah Teknik Tawau adalah sebuah sekolah yang terletak di Pantai Timur Sabah.  Sekolah ini terletak di Jalan Kuhara, kira-kira 7 kilometer dari bandar Tawau.  Jarak bandar Tawau dari Kota Kinabalu lebih kurang 550 kilometer. Perhubungan jalanraya antara bandar Tawau ke Sekolah Menengah Teknik Tawau adalah begitu baik.
 
Sekolah Menengah Teknik Tawau pada awal penubuhannya dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional yang beroperasi pada 15 April 1981.  Pada ketika itu bilangan muridnya hanyalah seramai 50 orang dan bilangan tenaga pengajar seramai 13 orang sahaja.  Ketika itu hanya aliran vokasional disediakan dengan tujuh buah kursus yang ditawarkan iaitu Elektronik;  Elektrik;  Binaan Bangunan;  Automotif;  Kimpalan Fabrikasi Logam; Pengurusan Perniagaan dan Amalan Bengkel Mesin.

Bangunan Lama Vokasional

 
Staf SM Vokasional Tawau Pada tahun 1996, Sekolah Menengah Vokasional telah diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Teknikal.  Setahun kemudian, iaitu pada 8 Januari 1997, pihak Jabatan Pendidikan Teknikal telah memaklumkan pembaharuan nama sekolah dari Sekolah Menengah Vokasional ke Sekolah Menengah Teknik Tawau secara hakiki.

Bengel Elektrik


Logo Sekolah Menengah Teknik Tawau

Selaras dengan pertukaran nama tersebut, aliran teknikal telah diwujudkan bersama kursus-kursus rumahtangga termasuk Sijil Kemahiran Malaysia.  Bilangan pelajar turut bertambah kepada 564 orang, guru bertambah kepada 67 orang dan staf sokongan kepada 20 orang.  Pada tahun itu jugalah akaun letterhead sekolah telah diubah bagi mewujudkan satu kecemerlangan pendidikan selaras dengan wawasan pendidikan negara. Bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan, Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) turut ditukar kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Pada awal Julai 1999, pejabat pentadbiran, asrama pelajar lelaki dan kelas kejuruteraan bagi pelajar aliran teknik telah dipindahkan ke bangunan baru.

SM Teknik Tawau menyahut cabaran membimbing pelajar ke arah Wawasan 2020 selaras dengan matlamat negara untuk melahirkan lebih ramai jurutera.  Sekolah ini dilengkapkan dengan bangunan baru serba lengkap dengan keperluan untuk menyediakan pelajar yang berdaya saing di alaf baru.

SM Teknik Tawau menawarkan kursus-kursus dalam aliran pendidikan Teknik dan Vokasional selama dua tahun untuk putera dan puteri negara. Pelajar-pelajar yang diterima masuk ke tingkatan 4 dalam mana-mana aliran akan dijuruskan mengikut kursus-kursus yang dipohon.  Kursus-kursus tersebut dibahagikan mengikut bidang-bidang tertentu.

Selain mengikuti kursus Teknik atau Vokasional pelajar akan mengikuti mata pelajaran teras.  Sukatan pelajaran bagi mata pelajaran teras ini adalah sama seperti yang dipelajari oleh pelajar-pelajar di sekolah menengah akademik. Pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Terbuka) di akhir tahun kedua.  Mereka yang lulus berpeluang melanjutkan pelajaran ke Intistusi Pengajian Tinggi seperti Politeknik dan Universiti Teknologi Malaysia atau menceburkan diri dalam bidang pekerjaan.

Kini sekolah Menengah Teknik Tawau terus melangkah ke hadapan dengan menempuhi segala cabaran yang mendatang serta meneroka segala kecemerlangan ilmu.  Hasil usaha yang begitu gigih di kalangan seluruh warga sekolah maka sekolah ini telah berjaya memperolehi keputusan 100% dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi aliran teknik selama tujuh tahun berturut-turut (1998-2004) dan juga aliran vokasional pada tahun 2002 hingga 2004.

Kejayaan dan penghormatan tertinggi yang telah dicapai oleh Sekolah Menengah Teknik Tawau ialah Anugerah Kualiti Yang Berhormat Menteri Pendidikan (dalam Pengurusan Sekolah) tahun 2001 dan Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik tahun 2000 selepas pengiktirafan sekolah bertaraf 6 bintang oleh Yang Berbahagia Dr. Ahamad Sipon, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Pastinya kejayaan ini akan menjadi cabaran kepada seluruh warga Sekolah Menengah Teknik Tawau untuk terus berusaha dengan gigih lagi bagi meningkatkan kecemerlangan selaras dengan visinya "Menjadi Sekolah Menengah Teknik Yang Sentiasa Di Hadapan".

Pentadbiran Sekolah

Kini setelah 23 tahun sekolah ini berfungsi dan beberapa orang pentadbir telah bersilih ganti:

1981 - 1982 Mr. James Liew Yok Hin
1982 - 1983 Mr. James A.Labangka
1983 - 1984 En. Abdul Rahim Abdullah
1984 - 1988 En. Abdullah Ahmad
1988 - 1991 En. Aminuddin Hamdan
1992 - 1993 En. Amre Azi
1994 - 1995 En. Mohamad Rashid Saad
1995 - April 1995 En. Zulpata Mustapha
April 1995 - Mei 1995 En. Mohd Isa Hassan
Jun 1995 - Disember 1995 Pn. Jennie Ling Ai Yieng
Januari 1996 - April 1996 En. Ismail Hj.Talib
Mei 1996 - Disember 2003 Pn. Mary Yap Kain Ching
Feb 2004 - Feb 2005 Pn. Hjh Masni Madat
Apr 2005 - Jan 2007 Pn. Mary Yap Kain Ching
Jan 2007 - Ogos 2009 Pn. Fitriyani Bt Wahid
OGOS 2009 - sekarang En. JOHAN BIN OKASA

Perkembangan Pelajar

Berikut adalah perkembangan pelajar mengikut tahun:

Tahun Bilangan Pelajar
1981 50
1982 150
1983 250
1984 300
1985 250
1986 250
1987 250
1988 343
1989 393
1990 322
1991 341
1992 471
1993 542
1994 447
1995 433
1996 481
1997 564
1998 610
1999 725
2000 812
2001 870
2002 917
2003 900
2004 1001
2005 1096
2006 908
2007 1041
2008 1050
2009 967
   

Ke Atas