PERUTUSAN PENGETUA
Bersyukur kita kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka Laman Web SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu dapat dilaksanakan pada tahun 2000 ini.
Sesuai dengan kehadiran alaf baru ini, warga sekolah SMK Tun Fuad Stephens, tidak mahu ketinggalan bersama-sama melibatkan diri dengan perkembangan IT yang sering diwar-warkan sebagai salah satu kunci kecemerlangan dalam menghadapi cabaran hidup pada masa akan datang.
Perancangan dan pelaksanaan Laman Web SMK Tun Fuad Stephens, ini pada mulanya menghadapi pelbagai cabaran antaranya kekurangan kemudahan dan kurangnya guru-guru yang berkemahiran dalam pengendalian program komputer. Walau bagaimanapun, berbekalkan semangat "SMK TUN FUAD BOLEH" beserta semangat kerjasama dan tidak mudah menyerah kalah; di samping bimbingan Cikgu Vivian dan Cikgu Jelong akhirnya segala rintangan dapat diatasi sehingga hasrat untuk melahirkan Laman Web ini tercapai.
Kewujudan Laman Web ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada guru-guru dan para pelajar untuk mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan dan penguasaan dalam bidang IT agar dapat bersaing dalam menghadapi perkembangan IT dunia yang semakin pesat berkembang.
Dengan terlaksananya Laman Web SMK Tun Fuad Stephens, ini nanti diharapkan akan memberi kesan positif ke arah mempertingkatkan lagi interaksi sekolah ini dengan dunia luar khususnya dalam bidang pendidikan seterusnya dalam perkembangan IT pada masa-masa akan datang.
Akhir kata, marilah kita bermohon ke hadrat Allah S.W.T. semoga apa-apa jua hasrat dan matlamat kita untuk mencemerlangkan serta memartabatkan nilai pendidikan akan mendapat keberkatan-Nya. Semoga Laman Web SMK Tun Fuad Stephens ini akan terus maju sejajar dengan kepesatan perkembangan IT. Segala usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat amat dihargai, ribuan terima kasih diucapkan. Segala kelemahan dan juga kekurangan berlaku atas kelemahan diri kita sebagai insan yang lemah. Segala kekuatan itu datangnya daripada Allah S.W.T. yang maha berkuasa.
Sekian, terima kasih.