SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH
MUKA UTAMA

         [ Klik ke Menu ]


          Sekolah Menengah Kebangsaan Putatan ( SMK Putatan ) yang dahulunya dikenali dengan nama “Penampang Junior Secondary” telah wujud sejak tahun 1967. Sekolah ini yang pada mulanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar telah ditadbir oleh sembilan orang pengetua sepanjang hayatnya. Semasa penubuhan awal, sekolah ini hanya mempunyai 75 orang murid sahaja dan menumpang di bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Hwa Shiong, Putatan.
Pertambahan pelajar yang semakin ramai menyebabkan sekolah ini meminjam sebuah bangunan sekolah lagi iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Petagas yang jaraknya antara kedua-dua bangunan itu lebih kurang 3 kilometer.

          SMK Putatan mula menukar bahasa pengantarnya dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu pada tahun 1974. Pada tahun itu, Tingkatan Satu menggunakan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu dan Kelas Peralihan ( Bahasa Inggeris ) ditiadakan. Tahun 1976 merupakan tahun terakhir pelajar-pelajar di sekolah ini menduduki Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ) dengan bahasa pengantarnya dalam Bahasa Inggeris.

          SMK Putatan berpindah ke bangunan barunya sekarang yang terletak di Kampung Pasir Putih, Putatan pada awal bulan Mac, 1983. Bangunan baru ini mempunyai 3 blok bangunan asrama lelaki, satu blok bangunan asrama perempuan dan sebuah bangunan Dewan Makan Asrama. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa bangunan lain seperti sebuah bengkel Kemahiran Hidup, sebuah stor Sains Pertanian, dua blok flat guru, satu deret rumah pekerja ( enam unit ), sebuah rumah pengetua, sebuah surau sekolah, sebuah Pusat Sukan dan sebuah kedai koperasi.

          Pertambahan pelajar meningkat secara mendadak sebaik sahaja sekolah ini berpindah ke bangunan barunya. Jumlah pelajar sekolah ini pada awal tahun 1983 hanya 355 orang kemudiannya meningkat kepada 690 orang pada akhir tahun berkenaan. Pertambahan kelas-kelas pada setiap tingkatan juga berlaku. Tingkatan 4 Sastera dimulakan dengan jumlah pelajar 143 orang dan dibahagikan kepada 3 kelas.

          Pada tahun 1985, bilangan guru dan pelajar terus bertambah. Bilangan pelajar bertambah menjadi 1048 dan guru seramai 54 orang di mana 12 orang daripadanya berijazah, seorang pemegang diploma dan 41 orang berkelulusan Maktab Perguruan. Pada tahun berkenaan, sesi petang diadakan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1987, jumlah pelajar di sekolah ini berkurangan kerana pelajar Tingkatan Empat dari SMK Kinarut dan Stella Maris tidak lagi datang menyambung pelajaran di sekolah ini.

          Pada masa ini, para pelajar yang belajar di SMK Putatan terdiri dari kelas Peralihan hingga Tingkatan Lima. Pelajar-pelajarnya adalah terdiri dari berbilang suku kaum iaitu Bajau, Kadazan, Murut, Bugis, Button, Timur, Jawa, Banjar, Dusun, Rungus, Melayu, Cina, India, Filipina, Suluk, Irranun, Kedayan, Berunai dan lain-lain. 87 peratus pelajar yang belajar di sekolah ini beragama Islam.

          Hampir satu pertiga pelajar yang belajar di sekolah ini datangnya dari seluruh pelusuk negeri Sabah seperti dari Daerah Pitas, Kota Merudu, Kudat, Wilayah Persekutuan Labuan, Tuaran, Semporna, Sandakan, Tambunan, Keningau, Papar, Kinarut, Kota Belud, Ranau, Tenom, Taun Gusi, Tamparuli, Beaufort dan kawasan sekitar  Bandaraya Kota Kinabalu seperti Tanjung Aru, Sembulan, Likas dan lain-lain. Jelasnya, sekolah ini menempatkan pelajar-pelajar dari latar belakang budaya dan sosioekonomi yang berbeza-beza.

          SMK Putatan yang terletak lebih kurang 13 km dari ibu negeri Sabah, Bandaraya Kota Kinabalu telah dilakukan perasmiannya oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 12 April 1985, bersamaan hari Jumaat.

[ Kembali ke sub-menu Latar belakang sekolah ]

 


MUKA
UTAMA

- Dari Meja Pengetua 2011 - Pentadbiran - Latar belakang - e-Terbitan - Gambar - Peristiwa / Aktiviti - Apa Yang Terbaru? -
- Sudut P.I.B.G. - Bimbingan & Kaunseling - Ko-KurikulumPusat Sumber - Sudut Guru - Sudut Hasil Karya -
- Muatturun - Koleksi Soalan - Buku Pelawat - Pautan Menarik - Siapa Kami? - 'Our Ex-students' -

Gunakan paparan bersaiz 800 x 600 pixel dan berwarna 16 bit
SMK Putatan, Penampang, Sabah
Sejak Julai 2000.
hubungi Cikgu Samatra Yahya - Ketua Penyelenggara [ smkputatanb@yahoo.com ] untuk sebarang komen atau permasalahan.
Kali terakhir muka surat ini dikemaskini : 03-02-2011 15:46:05