KARYA IBU BAPA
MUKA UTAMA

         [ Klik ke Menu ]


WARKAH BUAT GURU

Kehadapan cikgu yang dihormati,

Semoga cikgu sihat walafiat dan berbahagia disamping keluarga yang tercinta
Dihari yang berbahagia ini saya ucapkan selamat hari guru

Cikgu,

Rasanya tak terbalas budi yang cikgu curahkan kepada anak-anak kami selama ini
Rasanya tiada kata-kata yang bisa menceritakan segala pengorbananmu cikgu
Rasanya tiada masa yang mencukupi untukku menghitung keringatmu yang jatuh satu
persatu
Bagi mengisi ilmu ke dalam dada anak-anak kami

Cikgu yang dihormati,

Sesungguhnya cikgulah satu-satunya harapan kami untuk melihat anak-anak kami membesar menjadi orang terpelajar
Mudah-mudahan kami ibu dan bapanya dapat merasai nikmat berehat duduk menumpang dibanglo besar

Sesungguhnya cikgulah satu-satunya harapan kami untuk melihat anak-anak kami terdidik menjadi orang yang baik-baik
Mudah-mudahan kami ibu dan bapanya dapat menikmati tidur yang lena tanpa diusik oleh mimpi yang pelik-pelik

Sesungguhnya cikgulah satu-satunya harapan kami untuk melihat anak-anak kami dijaga supaya menjadi orang yang berguna

Mudah-mudahan sisa-sisa kami akan mendapat pembelaan yang sempurna dari anak-anak yang berjaya

Cikgu yang dihormati,

Kami sedar,
Cikgu pastinya gusar, melihat sikap anak-anak kami yang kurang ajar
Cikgu pastinya pening pabila mereka ponteng
Kami telah berusaha sedaya upaya
Menyedia segala yang mereka minta

Tapi cikgu,

Selera mereka kadangkala mengatasi apa yang kami ada
Lantas kami dijadikan punca
Ketidakpuasan naluri remaja

Pabila anak-anak kami kurang ajar
Bukan kami yang tidak mengajar
Kami dah cuba pelbagai cara
Agaknya susu lembu yang punya angkara

Pabila anak-anak kami ponteng
Bukan cikgu saja melenting
Ibu dan bapa mula berperang
Gara-gara si anak yang tak dengar larang

Cikgu,

Terima lah anak-anak kami seadanya
Didiklah mereka, bimbinglah mereka
Mudah-mudahan nanti

Pabila lena kami sudah tidak bisa dijaga
Dia tahu mengira berapa ela kain kapan perlu diguna
Dia tahu segala keperluan untuk mandian kami yang terakhir kali
Dia tahu berapa dalam liang lahad harus digali
Dia tahu masjid mana kami harus dibawa
Dia tahu doa apa yang perlu dibaca
Bagi mengiringi kami ke pusara

Cikgu,

Bukan kami tidak membantu
Siapalah kami dalam bab ilmu
Sekolah tak sampai kemana
Ilmu pun tak seberapa

Cikgu,

Sedih kami tidak terkira
Kalau anak-anak kami tidak bisa mengira
Kecewa kami pasti tidak terkata
Andai anak-anak kami tak pandai membaca
Hampa kami tentu tidak terhingga
Jika anak-anak kami tak sampai ke mana

Cikgu,

Walau apapun yang terjadi
Akan kami sampaikan pesan
Kepada rakan dan taulan
Ibubapa dan penjaga
Untuk mendoakan kesejahteraan kepada cikgu-cikgu semua
Semoga diberi petunjuk untuk memandu anak-anak kami
Ke alam jaya

Cikgu.......percayalah.........cikgulah satu-satunya harapan kami

 

Hasil Nukilan

Encik Ag. Mahmudin,
Mantan Yang Dipertua PIBG sesi 2006-2008

Telah disampaikan pada Hari Guru 2007 dan diulang baca semasa Hari Perasmian Mesyuarat Agung PIBG 2008

[ Kembali ke sub-menu Hasilan Pelajar ]

 

MUKA
UTAMA

- Dari Meja Pengetua 2011 - Pentadbiran - Latar belakang - e-Terbitan - Gambar - Peristiwa / Aktiviti - Apa Yang Terbaru? -
- Sudut P.I.B.G. - Bimbingan & Kaunseling - Ko-KurikulumPusat Sumber - Sudut Guru - Sudut Hasil Karya -
- Muatturun - Koleksi Soalan - Buku Pelawat - Pautan Menarik - Siapa Kami? - 'Our Ex-students' -

Gunakan paparan bersaiz 800 x 600 pixel dan berwarna 16 bit
SMK Putatan, Penampang, Sabah
Sejak Julai 2000.
hubungi Cikgu Samatra Yahya - Ketua Penyelenggara [ smkputatanb@yahoo.com ] untuk sebarang komen atau permasalahan.
Kali terakhir muka surat ini dikemaskini : 03-02-2011 15:46:05