|
|
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Tahun 2010 kini menjelang
tiba. Cabaran baru kini di hadapan mata kita semua. Tugas mesti diteruskan,
kejayaan mesti diusahakan.
Kepada semua guru-guru,
diharapkan tahun ini kita semua dapat bekerja lebih keras menggalas tugas
yang telah diamanahkan kepada kita. Sebagai ketua di sekolah ini, saya
sememangnya mengharapkan khidmat terbaik yang boleh diberikan kepada
masyarakat setempat, dan pendidikan yang kekal berkualiti untuk anak-anak
pelanggan kita iaitu ibu bapa. Di sebalik kesibukan pentadbiran, saya
sememangnya amat memahami usaha cikgu-cikgu dan masalah yang telah dan
sedang dihadapi. Bersabarlah. Tambahan lagi, tugas kita ini, jika dilakukan
dengan niat yang betul dan ikhlas, adalah ibadah. Maka selalulah periksa
niat dan berniatlah setiap hari ke sekolah bahawa kita lakukannya kerana
Allah SWT. InsyaAllah, ia akan menjadi ibadah, dan juga motivasi kendiri
cikgu semua. Sekolah ini masih memerlukan khidmat cikgu. Masyarakat di sini
juga masih memerlukan jasa baik cikgu-cikgu. Oleh itu, teruskan perjuangan
demi merealisasikan visi dan misi SMK Putatan, dan juga wawasan negara.
Kepada anak-anak didik SMK
Putatan, cikgu amat mengharapkan kerjasama dari anda dan ibu bapa anda dalam
membantu guru-guru mendokong cita-cita sekolah menjadi salah sebuah sekolah
berkualiti dalam Daerah Putatan yang baru sahaja 2 tahun diwujudkan.
Anak-anak haruslah bersedia untuk berjaya, merancang untuk berjaya dan
berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan juga sahsiah
diri. Ibu bapa juga, terutamanya melalui PIBG, haruslah bersedia bergerak
bersama-sama pihak guru merealisasikan kejayaan anak-anak masing-masing,
mahupun anak-anak orang lain. Tanpa sokongan ibu bapa yang sungguh-sungguh
dan komited, tugas kami menjadi sukar, seumpama laluan yang penuh dengan
duri-duri. Sebaliknya jika ibu bapa berani berdiri di sebelah guru mendidik
anak-anak, dalam akademik dah sahsiah atau disiplin anak-anak, tidak
mustahil pelajar yang lemah pun kita boleh bantu menjadi lebih pandai.
begitulah keakraban yang amat kami perlukan terutamanya hanya 10 tahun lagi
Wawasan 2020 mesti dicapai.
Akhir kata, saya ucapkan selamat
menuntut ilmu, selamat bertugas, selamat tahun baru.
Sekian, terima kasih.
Hjh. Azah Hj.
Ismail
Pengetua SMK Putatan
3
Januari 2010 |