|
Keagungan Sembahyang Di dalam Islam, As Solah adalah amalan yang paling besar dan agung selepas Iman. Oleh itu sembahyang menjadi tiang agama dan tapaknya adalah iman. Kebesaran dan keagungannya boleh dilihat dan dirasai melalui suluhan ilmu pengetahuan dari beberapa sudut seperti, Ia adalah ibu segala ibadah yang akan melahirkan ibadah-ibadah lain. Ia merupakan tiang seri agama Islam Perintah sembahyang diperintahkan terus dari Allah SWT kepada Rasulullah SAW pada malam Isra’ Mikraj tanpa melalui Malaikat Jibril AS di Sidratul Muntaha iaitu tempat yang tertinggi dan mulia sehinggakan Jibril sendiri sebagai ketua malaikat tidak pernah sampai. Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja maka jatuh kafir. Berkata para sahabat ‘Kami belum pernah dengar lagi hukum meninggalkan amalan-amalan yang lain jatuh kafir melainkan sembahyang.’ Sembahyang melibatkan seluruh anggota – perbuatan, bacaan, hati dan akal kerana hendak mamahami lafaz sembahyang. Mengerjakan sembahyang mesti suci lahir dan batin dari sebarang kekotoran lahir, hadas besar dan kecil. Sembahyang kena mengadap kiblat – ia melambangkan perpaduan umat Islam yang merupakan qiblat lahiriah, jika terpaling tidak sah sembahyangnya, sedangkan qiblat hati kita sebenarnya mengadap Allah SWT dan barangsiapa berpaling hati maka sia-sia sembahyangnya. Sembahyang terikat dengan waktu. Digalakkan berjemaah. Ada ulamak yang mewajibkannya cuma di dalam mazhab Shafie merupakan Fardhu Kifayah atau sunat muakad. Rasulullah hingga ke akhir hayat mempertahankan sembahyang berjemaah. Berbagai amalan para malaikat tertumpu di dalam solat kerana setiap malaikat hanya buat satu amalan sahaja. Ada berbagai-bagai bentuk amalan di dalam sembahyang seperti doa, zikir, selawat dalam bentuk fizikal dan roh. Ia merupakan ibadah yang terikat dengan disiplin (tertib) yang tertentu dan cara yang tertentu. Amalan sembahyang merupakan intipati dan intisari kepada seluruh ajaran Islam. Ada aqidah, ibadah, taharah, peraturan, disiplin, pemimpin dan pengikut, pendidikan, akhlak dan lain-lain yang menggambarkan ajaran Islam secara ijmali. Ia merupakan penyembahan dan peribadatan yang paling lengkap kerana keseluruhan ibadah para malaikat ada di dalam sembahyang. Ia merupakan zikir paling agung kerana segala bentuk zikir ada di dalam sembahyang. Bahkan Allah memerintahkan supaya berzikir kepada Nya selalu. Amalan paling lengkap zahir dan batin yakni merangkumi fizikal, rohani dan maknawi. Mengandungi seluruh bentuk doa dan sembahyang ditakrifkan sebagai doa. Berbagai amalan para Rasul ada di dalam sembahyang Sembahyang adalah mikraj orang mukmin . Mikraj ertinya naik iaitu rohaninya naik tinggi hingga rasa kebesaran Allah Dalam sembahyang ada latihan rohani, mental dan jasmani. Sembahyang ada simbol rendah diri, ketaatan dan kepatuhan dan simbol berdiri di Padang Mahsyar di hadapan Allah SWT. Pembaharuan ikrar lima kali sehari untuk menambahkan azam dan melaksanakan perintah Allah. Merupakan pembaharuan syahadah dan iman kita lima kali sehari semalam. Sembahyang merupakan pembersihan jiwa dari sifat-sifat mazmumah dan dosa. Maka daripada keagungan sembahyang yang dijiwai ini akan lahirlah hamba-hamba Allah seperti berikut, - Peribadi yang kuat keyakinannya. - Peribadi yang kuat imannya. - Peribadi yang mempunyai akhlak yang agung. - Peribadi yang berdisiplin hidupnya. - Peribadi yang bersih dari maksiat dan kemungkaran kecuali sedikit. - Peribadi yang kuat syariatnya. - Peribadi yang bersih jiwanya dari sifat-sifat mazmumah. Gabungan dari individu yang mempunyai peribadi tersebut akan Insya Alah akan lahirlah satu bangsa yang agung dan Allah yang Maha Agung akan menjadikan bangsa lain tunduk pada keagungan bangsa ini hasil dari sembahyang yang agung. |