Tarian Tradisional

Tarian Sabah mempunyai tiga puluh dua jenis etnik, lima puluh lima jenis bahasa dan kira-kira seratus dialek. Setiap etnik mempunyai kebudayaan, tradisi dan adat resamnya yang tersendiri. Mereka menunjukkan cara hidup mereka melalui muzik dan tarian. Antara jenis tarian suku kaum Kadazandusun di Sabah adalah sepeti berikut;

Liliput

Liliput merupakan tarian bagi etnik Bisaya di daerah Beaufort. Liliput ditarikan secara berpusing-pusing. Tarian ini biasanya ditarikan semasa upacara menghalau roh jahat daripada badan seseorang dan mengembalikan semangatnya. Upacara ini hanya akan ditamatkan setelah semangat orang itu kembali ke badannya.

Menangkuk

Tarian ini dipersembahkan oleh kaum Kadazandusun Kota Marudu di utara negeri Sabah. Ia biasanya ditarikan semasa perkahwinan dan upacara-upacara lain. Penari akan mempersembahkan tarian ini dengan menggunakan piring yang diletakkan di atas telapak tangan.

Tarian ini ditarikan dengan melenggangkan punggung tanpa menjatuhkan piring. Sekiranya piring itu jatuh, ianya menunjukkan petanda yang buruk, terutamanya semasa tarian ini dipersembahkan semasa hari perkahwinan. Kadang-kadang lilin yang dinyalakan akan letakkan diatas piring tersebut untuk membuatkan tarian itu lebih menarik.

Mogunatip

Mogunatip adalah tarian yang dipersembahkan oleh kaum asli dari pedalaman Sabah termasuk kaum Kadazandusun dari Tambunan, Kwijau Dusun dari Keningau dan beberapa kumpulan daripada suku kaum Murut. Mogunatip diambil daripada perkataan "atip" yang bermaksud menekan antara dua permukaan. Penari mogunatip memerlukan kemahiran dan ketangkasan yang baik untuk menari melintasi buluh yang dipukul serentak untuk menghasilkan bunyi dan irama tarian tersebut. Tarian ini merupakan tarian yang dipersembahkan semasa upacara-upacara yang tertentu untuk menghormati tetamu.

Mongigol Sumundai

Mongigol Sumundai adalah tarian daripada daerah kudat dan Pitas yang dipersembahkan oleh suku kaum Rungus . Kedua-duanya dipersembahkan oleh suku kaum Rungus. Kedua-duanya dipersembahkan sekaligus semasa perayaan dan upacara pemujaan semangat. Tarian ini ditarikan oleh 3 hingga 8 orang penari perempuan dan diketuai oleh penari lelaki. Penari perempuan akan merapatkan bahu antara satu sama lain dan menggerakan pergelangan tangan dengan langkah-langkah yang perlahan dan lembut. Pakian yang digunakan oleh penari perempuan adalah pakaian tradisional suku kaum Rungus. Tarian ini diiringi dengan 4 gong dan gendang yang dinamakan ' Tontog'.

Paina

Paina merupakan tarian suku kaum Kadazandusun dari daerah Membakut. Ianya dipersembahkan semasa upacara kesyukuran terhadap semangat padi.

Ia biasanya dipersembahkan oleh sekumpulan lelaki dan perempuan. Pakaian yang dipakai oleh penari perempuan adalah serba hitam dengan dihiasi butang yang terang dan menyerlah manakala penari lelaki pula memakai ' sigar ' di kepala dan ' sandai ' yang tergantung dari leher.

Sumayau ( Mongigol Tuaran )

Tarian ini merupakan tarian pemujaan semangat oleh suku kaum Dusun Lotud di daerah Tuaran. Ia biasanya dipersembahkan semasa Upacara ' Rumaha ' ( Upacara memuja tengkorak kepala ), ' Magahau ' ( Upacara pemujaan semangat Tajau ).

Sumayau dipersembahkan lebih daripada 8 orang pasangan yang berpakaian serba hitam dengan lengan panjang dan selendang yang panjang mengelilingi leher. Penari perempuan pula memakai bulu burung di bahagian kepala yang digabungjalinkan sementara penari lelaki memakai ' sigar '.

Penari perempuan menggerakkan tapak kaki mereka dengan perlahan , sementara penari lelaki berdiri dan menggoncangkan ' giring ' atau loceng kecil ang dilekatkan pada pakaian mereka.

Sumazau Papar

Tarian ini berasal dari daerah Papar, Sabah. Ianya biasa ditarikan oleh gabungan penari lelaki dan perempuan.

Keunikan pergerakan tapak kaki penari perempuan, tumit bertemu tumit, ibu jari bertemu ibu jari. Ini membuatkan tarian ini lebih unik dan serta menarik. Penari perempuan memakai pakaian tradisi suku kaum Kadazandusun dari daerah Papar, dengan ' seraung' yang diletakkan atas kepala dan bulu berwarna-warni atas ' seraung ' yang dipanggil ' senaundung '. Penari lelaki pula memakai ' siga ' pada kepala mereka dan juga skaf / selendang yang dikenali sebagai ' sandai '.

Sumazau Penampang

Sumazau Penampang adalah tarian tradisional suku kaum Kadazandusun. Tarian ini biasanya dipersembahkan semasa perayaan dan juga upacara pemujaan semangat padi ( Bambaazon ).

Penari mempersembahkan tarian mereka secara berpasangan. Kedua-dua penari lelaki dan perempuan mula menari dengan irama yang lembut dan perlahan mengikut paluan gong. Dengan ' pangkis ' dari penari lelaki biasanya, ini menandakan pertukaran corak tarian akan dilakukan. ' Pangkis ' dari penari lelaki ini akan lebih memeriahkan lagi suasana tarian ini.

Pakaian yang dipakai oleh penari ini ialah pakaian serba hitam dengan jalur kuning emas. Penari perempuan memakai ' tangkong ', ' tinggot ', dan ' Himpogot '. Penari lelaki pula memakai ' sigar ' di kepala. Tarian ini biasanya diiringi oleh paluan gong atau pun ' togunggu '.

Titikas

Titikas adalah tarian tradisional suku orang sungai di kawasan Kinabatangan, Sandakan. Tarian ini biasanya ditarikan untuk menyambut ketibaan tetamu kehormat dan juga semasa perayaan.

Pergerakan tangan semasa menari ialah sama seperti permainan ' Ingki-ingki '. Alar muzik yang digunakan untuk mengiringi tarian ini dikenalai sebagai ' titikas ', ' gabang ', ' kantung ' , dan juga gong.