SEJARAH..............

PERINGKAT AWAL

Penubuhan sekolah ini diilhamkan oleh Jawatankuasa Gereja Basel Daerah yang pada masa itu dikenali sebagai North Borneo Basel Self-Established ChurchDistrict Council, bersama dua orang tokoh gereja tempatan iaitu En. Wong Kiam Fook, Pengerusi Gereja pada masa itu dan En. Tsen Tain Fook selaku Setiausaha.
Setelah perundingan terperinci dijalankan di antara pemimpin gereja terbabit, maka tercapailah satu resolusi untuk menubuhkan sebuah sekolah aliran cina yang dinamakan Sikuati Lok Yuk Chinese Primary School pada tahun 1954.

PERSEDIAAN TAPAK SEKOLAH

Pihak gereja telah mendapatkan sebidang tanah seluas 2.51 ekar (CL. 28606) atas nama Gereja Basel, khas untuk membuka gereja dan sekolah. Pada 26 Disember 1954 sekolah mula beroperasi dengan menggunakan bangunan gereja untuk aktiviti P&P.

Kemudian pada 5 Januari 1955 sekolah ini telah dibuka dengan rasminya dengan kira-kira 30 orang murid dan seorang guru. Walau bagaimanapun sekolah ini tidak mendapat sebarang bantuan kewangan dari pihak kerajaan atau Jabatan Pendidikan Negeri. Bayaran gaji guru dan penyediaan segala kelengkapan sekolah adalah dibiayai oleh gereja dan pungutan yuran daripada murid.

TAMBAHAN TENAGA PENGAJAR

Memandangkan bilangan murid semakin bertambah dari setahun ke setahun, maka pihak sekolah telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk menghantar seorang guru terlatih yang mana gajinya dibayar oleh pihak kerajaan. Oleh yang demikian pada tahun 1958, seorang guru terlatih yang bernama En. Wong Tzhun Siong telah dihantar ke sekolah ini.

TAMBAHAN BANGUNAN SEKOLAH & PERTUKARAN ALIRAN

Pada tahun 1960, sebuah bangunan baru telah didirikan yang mengandungi dua buah bilik darjah dan sebuah bilik guru. Walau bagaimanapun bangunan gereja masih digunakan. Didapati selepas menamatkan Tahun 4, murid sekolah ini akan melanjutkan pelajaran mereka ke Sekolah Lok Yuk Bandar Kudat, yang beraliran Bahasa Inggeris. Justeru pihak sekolah ini mengambil keputusan untuk bertukar ke aliran Bahasa Inggeris pada tahun 1961. Sungguhpun demikian bahasa cina tetap masih dijadikan pelajaran wajib.Dalam tahun yang sama juga sekolah ini telah menambahkan bilangan kelas kepada enam buah, yang meliputi kelas Tahun 1 hingga Tahun 6, dengan empat orang tenaga pengajar, termasuk seorang guru besar.

Pada tahun 1967, sebuah sebuah lagi bangunan telah didirikan yang mengandungi empat buah kelas. Bilangan murid juga bertambah pada masa itu kepada lebih dua ratus orang. Tenaga pengajarnya juga bertambah kepada sembilan orang dan seorang tukang kebun. Pada tahun 1974 sekolah ini bertukar aliran sekali lagi kepada aliran Bahasa Melayu, dan berlanjutan sehingga ke hari ini.

GURU BESAR

Berikut merupakan individu yang pernah menyandang jawatan Guru Besar di sekolah ini :

1. En. Tsen Tain Fook (1955 - 1980)
2. En. Wong Kim Hiun (1980 - 1987)
3. En. Michael Muniandy a/l Koridan B.K, B.S.K, P.P.N (1988 - 2004)
4. En. Thomas Gambisir (2004 - sekarang)