PROGRAM 3K

Program 3K merupakan satu program yang menjurus ke arah menghasilkan suasana persekitaran sekolah yang memberangsangkan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 3K merujuk kepada Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan. Secara amnya jika ketiga-tiga elemen ini diterapkan ke dalam suasana persekitaran sekolah, sudah pasti para guru dan pelajar akan menjadi lebih selesa, selamat dan berkeyakinan dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

 

MEMBINA TAMAN


"Taman Ilmu"

Taman Ilmu (hadapan pusat sumber) pada asalnya kawasan hadapan pusat sumber adalah terdiri daripada permukaan yang berbatu dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pelajar. Oleh yang demikian, jawatankuasa pusat sumber yang mendapat nasihat daripada Unit 3K telah menjalankan sato projek yang memakan masa lebih kurang dua bulan, dan akhirnya telah terhasillah "Taman Ilmu".


"Taman Kantin"

Kawasan berhampiran kantin yang dahulunya sentiasa berdebu dan dipenuhi habuk, kini bertukar wajah kepada sebuah taman mini yang indah. Semua ini adalah hasil kerjasama di antara guru dengan pengusaha kantin sekolah. Kini masalah debu yang sering mengganggu ketenteraman terutamanya ketika waktu rehat tidak lagi timbul. Guru dan murid dapat menikmati hidangan yang disediakan di kantin dengan selesa dan dalam suasana yang bersih.

MENARA CHONG MUI YIN

Nama menara ini diambil sempena nama pengasas dan yang mencetuskan ilham pembinaannya, iaitu En. Chong Mui Yin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa 3K Sekolah. Beliau yang menganggap masa amat penting terutama kepada golongan pelajar, telah mencadangkan pembinaan 'menara jam' setinggi lebih kurang 12kaki ini. Bukan sahaja warga sekolah ini yang dapat menikmati kemudahan 'masa', malah masyarakat sekitar sekolah juga berpeluang merasainya. Ini kerana ketinggian dan tempat yang strategik pembinaan menara ini.

MEMBINA TEMBOK

Aktiviti membina tembok ini dilakukan secara gotong-royong di antara guru-guru, KTBM, pekerja swasta sekolah dan juga PIBG serta ahli lembaga sekolah. Tembok ini dibina memandangkan ianya tidak selamat lagi kerana bahagian hujung koridor Kelas Tahun 2 telah mula runtuh. Oleh yang demikian pihak sekolah mengambil inisiatif dengan mengumpul derma di kalangan warga sekolah, PIBG dan Lembaga Sekolah bagi menampung perbelanjaan pembinaan tembok tersebut. Akhirnya tembok telah siap dibina, malah Unit 3K dapat menambah keceriaan dengan membina Tanda Nama Sekolah mengguna bata blok.