| Sekolah Rendah
Jenis Kebangsaan Yick Nam ditubuhkan pada tahun 1929. Terletak kira-kira
200 meter dari pekan Inanam, sekolah ini telah mencapai usia 70 tahun.
Walau bagaimanapun tidak terdapat sebarang dokumen, rekod-rekod rasmi mahupun
majalah sekolah yang mencatat sejarah pembinaan dan pentadbiran sekolah
sejak ia ditubuhkan. Dengan bantuan bekas guru besar seperti En.Ng Swee
Nyuk dan En. Wong Nam Kien, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah
En. Lim Nyet Chen dan bekas murid Lu Zi Chun, Soon Ho, Soon Ket dan lain-lain,
maka dapatlah catatan sejarah ini disiapkan.
En. Wong Swee
Shim adalah pengasas sekolah ini dan merupakan orang yang pertama mendirikan
sekolah swasta. Anak sulung belia, En. Wong Weng Yin menjadi tenaga pengajar.
Pada mulanya sekolah ini terletak di kedai lama En. Ng Kim Sui. Jumlah
murid pada masa itu ialah kira-kira 10 orang.
Pada tahun
1932, En. Ng Swee Nyuk mengambil alih tugas sebagai guru besar dan memindahkan
sekolah ke kedai lama En. Fu Ah Kiat. Pada tahun 1939, En. Ho Yick Che
menjadi guru besar di samping menjadi guru Bahasa Inggeris. Pada masa itu
jumlah murid telah meningkat lebih 30 orang dan kebanyakannya terdiri daripada
suku kaum bumiputera. Pada tahun berikutnya En. Ho Yick Che meletak jawatan
dan En. Tan Siew Hwa menggantikan tempatnya.
Seterusnya
En. Wong Swee Shim ingin memperluaskan kawasan sekolah dan mendapat persetujuan
serta bantuan daripada En. Lim Teng Fa, En. Lim kim Sui, En. Tan Chen Yang,
En.Chong Zhu End dan lain-lain. Oleh yang demikian, mereka telah mendapatkan
tapak sekolah sekarang ini daripada kaum bumiputera dengan harga dua ratus
lima puluh ringgit. Pihak sekolah mengutip derma untuk membina bangunan
sekolah. Pada tahun 1941, atas usaha semua pihak dari segi tenaga mahupun
kewangan maka siaplah sebuah bangunan sementara untuk murid-murid meneruskan
pelajaran. |