[Senarai Guru Besar]

       Sejak penubuhan hingga kini, sekolah ini telah melangkah ke tahun yang kelima puluh tiga. Sebahagian besar dokumen-dokumen dan rekod-rekod rasmi yang dapat membuktikan sejarah pembinaan dan pentadbiran sekolah ini telah hilang, disebabkan pertukaran AJK Lembaga Pengurusan Sekolah ataupun banjir yang seringkali melanda tempat ini. Sejarah sekolah ini terpaksa dicatat semula mengikut cerita-cerita penghuni kawasan ini dan juga merujuk kepada sebahagian sisa-sisa dokumen dan rekod yang ketinggalan tahun keenam puluhan.

      Didiantara tahun 1946 dan 1947, negeri Jepun telah menyerahkan diri dalam Peperangan Dunia Kedua. Suasana aman-damai mula muncul di negeri ini. Penduduk-penduduk Cina di Donggongon insaf kepentingannya pendidikan generasi muda mereka. Maka sebuah Sekolah Rendah Cina yang bernama Wah Nam telah ditubuhkan. Pengasas-pengasas sekolah ini ialah En. Chang Kai Min dan Encik Chan Kien Yin serta segolongan masyarakat Cina yang mencintai bahasa ibunda mereka. AJK Lembaga Pengurusan Sekolah telah menyewa sebuah bilik di tingkat atas sebuah bangunan kedai di Pekan Donggongon untuk dijadikan bilik darjah. Encik Song Nai Min diupah menjadi Guru Besar di samping menjadi seorang Guru. Sekolah ini memulakan persekolahannya pada tahun 1948, dengan jumlah murid sebanyak 20 orang sahaja.

      Nama sekolah ini, iaitu Sekolah Wah Nam telah menimbulkan perselisihan di antara sekumpulan penduduk Cina yang berasal dari Negeri  China Utara. Mereka berpendapat mereka telah diketepikan oleh orang Cina yang berasal dari Negeri China Selatan. Mereka menubuhkan sebuah Sekolah Rendah Cina baru iaitu, Sekolah Kee Mong untuk mewakili suku bangsa mereka. Pihak Lembaga Pengurusan sekolah mengupah seorang dari kampung mereka, Encik Ong Mei Lee sebagai Guru Besar. Bilangan murid di sekolah ini lebih kurang sama dengan Sekolah Wah Nam. Lokasi Sekolah Kee Mong dan Sekolah Wah Nam terletak di kedua-dua belah hujung, tingkat atas bangunan kedai yang sama.

      Oleh sebab AJK Lembaga Pengurusan Sekolah, Guru Besar-Guru Besar, guru-guru dan murid-murid kedua-dua buah sekolah ini terdiri daripada suku bangsa yang berlainan, maka selalu berlaku hal-hal yang bertentangan. Keadaan ini terus berlaku sehingga beberapa tahun.

      Dalam tahun 1951, mendiang Encik Chong Kiam  bersama Duta Besar Negeri Republic China yang berkhidmat di Borneo Utara, telah berusaha dengan sedaya upaya untuk menyelesaikan konflik di antara kedua-dua pihak sekolah-sekolah ini, di atas alasan bahawa mereka semua adalah berbangsa Cina. Akhirnya, mereka bersetuju bergabung serta bermuafakat menubuhkan sebuah sekolah yang baru. Dengan itu, terbinalah sebuah sekolah bersatu untuk menjauhi isu-isu yang sensitif. Pengerusi-pengerusi Lembaga Pengurusan kedua-dua buah sekolah dinasihatkan supaya jangan bercampurtangan dalam hal-hal lembaga pengurusan sekolah bersatu itu. Pada tahun itu, Encik  Fu Ah Kaw telah dipilih sebagai pengerusi pertama Lembaga Pengurusan Sekolah Bersatu. Encik Wong Vui Min, Encik Chan Chaw Yen, Encik Yong Shiaw Thong, Encik Chang Kai Min dan Encik Jong Shong Shien telah dilantik sebagai AJK dalam Lembaga Pengurusan Sekolah Bersatu ini.
      Dengan secepat mungkin, AJK Lembaga Pengurusan Sekolah ini telah memohon kepada
kerajaan untuk mendapatkan sebidang tanah yang berkeluasan18,000 kaki persegi untuk membina sebuah bangunan papan setingkat sebagai kegunaan bilik darjah dan asrama. Sekolah ini dinamakan Sekolah Hwa Chiaw.


Sekolah Hua Chiaw

      Pembinaan bangunan Sekolah Rendah Hwa Chiaw siap dibina pada awal tahun 1953. Encik Lim Tze Kang dipelawa menjadi Guru Besar pertama sekolah ini dan Encik Ng Siau Poh sebagai Guru. Bilangan murid di sekolah ini lebih kurang 40 orang yang terdiri daripada murid-murid Sekolah Wah Nam dan Sekolah Kee Mong. Ketika itu, sekolah Hwa Chiaw hanya mengadakah persekolahan untuk Tahun 1 hingga 3 sahaja.

      Dalam tahun 1954, guru Besar Lim meletak jawatannya dan Encik Chia Tai Ung menggantikan tempatnya. Pemilihan semula AJK Lembaga Pengurusan Sekolah diadakan pada tahun yang sama. Encik Wong Vui Min berjaya memenangi tempat Pengerusi Lembaga Sekolah ini. Bilangan murid pada masa itu masih tidak bertambah. Pada pertengahan tahun 1956, guru Besar Chia meninggalkan perkhidmatan dan Cikgu Ng Kui Thai mengambil alih sebagai Pemangku Guru Besar sehingga akhir tahun itu.

      Dalam tahun 1957, Encik Wong Vui Min telah mendapat sokongan menjadi Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah ini buat kali yang ketiga. Pihak berkuasa sekolah ini menjemput En. Lim Vui Chiew bertugas sebagai Guru Besar, En.Wong Yun Hin, Cik Tsen Siew Ching dan Cik Lui Sook Fui sebagai guru. Jumlah murid telah meningkat kepada 90 orang. Pada akhir tahun 1959, Guru Besar Lim Vui Chiew meletakkan jawatannya. Ketika itu, sekolah ini merangkumi 100 orang murid dan 6 orang Guru.

      Pada tahun 1960, En. Chong Kui Fah telah dilantik sebagai Guru Besar sekolah ini oleh En. Chen Ket Vui, Pengelola Sekolah Rendah Cina sekolah ini. Semenjak Guru Besar Chong berkhidmat di sekolah ini, beliau menjalankan pentadbiran sekolah dengan ringan tulang demi menjaga imej dan kebaikan sekolah. Pada masa itu, bilangan murid telah bertambah kepada 160 orang yang terdiri daripada murid Tahun 1 hingga 4. Masalah kekurangan bilik darjah dan tempat untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum tertimbul. Pihak AJK sekolah menghadapi masalah kewangan untuk menyelesaikan keadaan yang rumit itu. Maka En. Chong pun bertungkus-lumus menolong AJK Lembaga Pengurusan Sekolah memungut wang derma untuk menambahkan kemudahan-kemudahan di sekolah ini.

      Dalam tahun 1961, pihak AJK sekolah berkemampuan membeli 2 bidang tanah berupa tanah perumahan seluas 12,000 kaki persegi di sebelah tapak sekolah ini. Kini, sekolah ini telah mempunyai tanah yang berkeluasan 30,000 kaki persegi. Dengan serta-mertanya rancangan pembinaan bangunan sekolah tambahan dijalankan. Rancangan itu dilaksanakan dengan lancarnya kerana terdapat banyak bantuan dan sokongan daripada ahli-ahli masyarakat tempatan dan juga ibubapa, murid-murid sekolah ini.

      Pada awal tahun 1962, sebuah bangunan sekolah papan yang bertingkat dua telah dibina. Di tingkat bawah bangunan itu mengandungi dua buah bilik darjah dan di tingkat atas ialah asrama Guru Besar dan guru-guru. Pada tahun itu, sekolah ini mempunyai seramai 170 orang murid dan 7 orang guru. Sementara itu, pihak AJK Lembaga Pengurusan sekolah menerima cadangan daripada En. Chen Ket Vui, Pengelola Sekolah Rendah Cina, menukarkan Sekolah Hwa Chiaw kepada Sekolah Yue Min dengan alasan bahawa nama "Hwa Chiaw" tidak sesuai digunakan oleh orang-orang di negeri ini. Maka nama sekolah ini pun didaftar semula kepada Sekolah Yue Min.

Lencana sekolah lama

      Setakat tahun 1963, Sekolah Yue Min mengadakan persekolahan bagi Tahun 1 hingga 5 untuk mendidik seramai 200 orang murid-murid. Pada tahun itu, Borneo Utara telah menyertai Malaysia dan menukarkan namanya sebagai Sabah. Guru Besar Chong menulis kepada YAB Ketua Mengeri iaitu mendiang Tun Fuad Stephens untuk memiliki sebidang tanah simpanan kerajaan seluas 20,000 kaki persegi yang terletak di belakang tapak sekolah ini. YAB Ketua Menteri hanya membenarkan pihak sekolah ini meminjam tanah tersebut untuk kegunaan sekolah dengan syaratnya tidak boleh menubuhkan sebarang bangunan di situ. Disamping itu, pihak kerajaan berkuasa boleh mengambil balik tanah itu pada bila-bila masa ia memerlukannya. Sehingga kini, sekolah ini telah memiliki tapak sekolah seluas 50,000 kaki persegi.

      Dalam tahun 1964, sekolah ini telah mempunyai 10 orang guru dan lebih kurang 230 orang  murid-murid yang mengikuti persekolahan Tahun 1 hingga 6. Tahun itu merupakan tahun yang pertama sekolah ini mengadakan pendidikan yang lengkap untuk sebuah sekolah rendah. Pada akhir tahun itu, 16 orang murid Tahun 6 mengambil bahagian dalam Peperiksaan Sekolah Rendah Peringkat Negeri. Akhirnya 12 orang murid lulus di dalam peperiksaan itu. Peratus kelulusan ujian tersebut mencapai 75 peratus. Keputusan - keputusan peperiksaan itu pada tahun-tahun selanjutnya terus meningkat.

      Pada tahun yang sama, Guru Besar Chong dan guru-guru Sekolah Yue Min berjaya mengutip wang derma daripada peniaga-peniaga dan ahli-ahli masyarakat tempatan. Beliau bersama rakan-rakan sejawatnya bergotong-royong membina pagar mengelilingi kawasan-kawasan sekolah bagi menghalang binatang-binatang ternakan memasuki ke kawasan sekolah. Mereka menanam pokok-pokok bunga di halaman sekolah untuk mencantikkan sekolah ini. Kemudahan-kemudahan sekolah ini bertambah dan diperbaiki supaya menjadikannya sebuah sekolah yang lebih selesa dan ideal untuk murid-murid menerima pelajaran.

      Pada tahun 1965, jumlah murid di sekolah ini telah meningkat kepada 200 orang. Apabila pendidikan sekolah rendah dijalankan secara percuma pada tahun yang berikutnya, bilangan murid makin bertambah sehingga seramai 219 orang yang mana diajarkan 11 orang guru. Dalam tahun 1967 dan 1968, pentadbiran sekolah ini diselenggarakan dengan wajarnya seperti biasa. Jumlah murid meningkat sedikit lagi pada tahun 1969. Pihak sekolah membuka 7 kelas dan mengupah 9 orang guru. Pada tahun 1970, pihak sekolah terpaksa membuka 6 kelas dan mengupah 8 orang guru sahaja menurut arahan Kementerian Pendidikan.

      Dalam tahun 1971 hingga 1977, bilangan murid-murid, guru-guru dan kelas-kelas di sekolah ini tidak berubah. Malangnya, Pengerusi Lembaga Sekolah ini, Encik Wong Vui Min telah meninggall dunia pada tahun 1975. Beliau telah bertugas sebagai Pengerusi di Lembaga Sekolah ini selama 21 tahun. Naib Pengerusi Lembaga Sekolah, Encik Fu Ah Kaw menampung jawatan kosong ini.

      Dalam tahun 1978, sekolah ini mempunyai melebihi 300 orang murid-murid dan 7 kelas. Oleh kerana bilangan bilik darjah tidak mencukupi, AJK Lembaga Pengurusan Sekolah dan ahli-ahli masyarakat menyokong sekolah ini telah mendermakan wang untuk menubuhkan dua buah bilik darjah sementara di gelanggang badminton. Pada tahun 1979, sekolah ini mempunyai 8 buah bilik darjah manakala bilangan murid-muridnya meningkat kepada 355 orang. Pihak sekolah membina sebuah bilik darjah sementara lagi untuk menampung bilangan murid seramai itu. Dalam tahun yang sama, Sekolah Yue Min terpaksa berpindah ke tempat lain di bawah Rancangan Pembangunan Bandar Baru Penampang. Pihak berkuasa pembinaan tersebut tidak membekalkan tanah kepada sekolah ini. Maka Guru Besar Chong Kui Fah dan AJK Lembaga Pengurusan Sekolah ini bersama-sama berunding dengan pihak yang berkenaan. Akhirnya, sekolah ini berjaya mendapatkan sebidang tanah seluas 4 ekar yang terletak di alamat sekarang ini. Dengan subsidi kerajaan, sebanyak RM60,000 kerja pembinaan bangunan sekolah barupun dimulakan.

      Pada tahun 1980, pihak sekolah ini mengadakan 10 bilik darjah untuk menampung 390 orang murid-murid. Tempat letak kereta Guru Besar terpaksa dijadikan bilik darjah. Guru Besar Chong bersara pada pertengahan tahun 1981. Rancangan Pembinaan Bangunan Sekolah Baru terus dijalankan dengan bantuan En. Fu Ah Kaw sebagai Ketua Penolong. Setelah Guru Besar Chong bersara, Encik Thomas Yong mengambil alih sebagai Pemangku Guru Besar sepanjang 6 bulan. Pada bulan Jun 1982, Encik Wong Kui Onn telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan untuk bertugas sebagai Guru Besar di sekolah ini. Beliau berusaha membantu AJK Lembaga Pengurusan Sekolah ini mengemukakan kempen mengutip derma tabung untuk penubuhan sekolah. Mereka telah mendapat keputusan yang cemerlang.

      Bangunan baru sekolah Yue Min siap dibina pada akhir tahun 1982. Ia berbentuk papan setingkat dan telah mula digunakan pada tahun 1983.  Pada tahun itiu, sekolah ini mempunyai  12 bilik darjah, 530 orang murid-murid, 16 orang guru termasuk Guru Besar, seorang kerani dan 3 orang pekerja sekolah.

         Pada tahun 1986, pihak Lembaga Pengurusan Sekolah menubuhkan 6 buah bilik darjah lagi. Ini bermakna sekolah ini telah memiliki 18 buah bilik darjah.  Pada tahun 1987, jumlah murid-murid bertambah kepada seramai 800 orang dan bilangan guru kepada 27 orang. Pihak sekolah kini membuka 17 kelas.  Pada tahun 1986, sekolah ini telah mempunyai seramai 835 orang murid-murid, 29 orang guru termasuk Guru Besar, seorang kerani serta 3 orang pekerja dan membuka 18 buah kelas.

      Kementerian Pendidikan Malaysia telah menghantar 2 orang Penolong Kanan ke sekolah ini, iaitu dalam bidang Hal-Ehwal Murid dan Ko-kurikulum.  Satu pasukan Pancaragam yang terdiri daripada seramai 100 orang ahli juga telah ditubuhkan pada tahun ini.

      Pada tahun 1989, sekolah ini telah dianugerahkan sebagai Sekolah Terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran di Peringkat Daerah Penampang oleh Pejabat Pendidikan Daerah Penampang.  Sekolah ini telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.  Pada tahun ini bilangan murid terus bertambah kepada 850 orang, 18 buah kelas telah dibuka dan tenaga pengajar seramai 31 orang, 3 orang pekerja dan seorang kerani.

      Pada tahun 1990, semua aktiviti sekolah berjalan dengan lancar.   Pada tahun tersebut, sekolah ini telah menjadi Johan Keseluruhan dalam Pertandingan 3M KBSR Peringkat Daerah Penampang.  Dalam pelbagai pertandingan yang dijalankan, sekolah ini telah menjadi Johan dalam mengira, nyanyian, (koir), Pendididkan Seni dan Muzik Genderang.  Dalam Pertandingan Kuiz Pengetahuan Am, sekolah ini telah mendapat Naib Johan.

      Dalam tahun 1991, sekolah ini telah muncul sebagai Johan dalam Pertandingan syarahan Bahasa Cina (Piala Muhibah) diantara 18 buah SRJK (C) di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Ranau.  Sekolah ini juga sekali lagi menjadi Johan Keseluruhan dalam Pertandingan 3M KBSR Peringkat Daerah Penampang.  Wakil-wakil sukan sekolah ini telah menjadi Olahragawan dan Olahragawati dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Zon Moyog.  Sekolah ini juga telah muncul sebagai Johan Pasukan dalam sukan tersebut.  Pada tahun ini, bilangan murid telah bertambah menjadi 860 orang kesemuanya dengan tenaga pengajar seramai 31 orang dan 4 orang kakitangan bukan mengajar (KTBM).

      Pada tahun 1992, bilangan murid yang mendaftar memasuki Tahun Satu bertambah ramai. Oleh yang demikian, dengan arahan daripada pihak Jabatan Pendidikan, pihak sekolah dengan kerjasama AJK Lembaga Pengurusan Sekolah telah merancang untuk mendirikan satu blok bilik darjah yang mempunyai 6 buah bilik darjah dan bilik pengurusan. Suatu AJK Perancang Pembinaan telah ditubuhkan oleh ahli-ahli Lembaga Pengurusan Sekolah.  Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memungut tabung pembangunan sekolah.  Salah satu daripadanya ialah Majlis Jamuan Makan Malam yang telah dijalankan pada 27 September, 1992 di KDCA.  Kini, sekolah ini terdiri daripada 18 buah bilik darjah dengan seramai 926 orang murid, 35 orang guru termasuk Guru Besar dan 4 orang (KTBM).

      Pada tahun 1993, kerja-kerja pembinaan bangunan sekolah yang baru telah dimulakan.  Bilangan murid sekarang ialah 980 orang dalam 19 buah kelas dan 37 orang guru.

      Bangunan baru sekolah ini telah disiap bina pada awal tahun 1994 dan mula digunakan pada semester kedua 1994.  Bangunan ini mempunyai 9 buah bilik darjah, sebuah bilik sains dan sebuah pusat sumber yang berhawa dingin.  Pada tahun ini, bilangan kelas terus bertambah menjadi 20 buah, bilangan murid-murid ialah 1025 orang dengan 38 orang guru termasuk Guru Besar dan 4 orang (KTBM).

      Oleh kerana bilangan murid yang didaftarkan untuk Tahun 1 lebih daripada 250 orang, sekolah ini diarahkan membuka kelas baru yang menampung kesemua kanak-kanak yang ingin belajar di sekolah ini.  Pada tahun  1995, bilangan kelas terus bertambah menjadi 22 dengan seramai 1057 orang murid, 41 orang guru dan 4 orang (KTBM).  Sekolah ini dijangka akan mempunyai 30 kelas pada tahun 2000 dengan 1,400 orang murid.  Pada tahun ini, dengan usaha gigih daripada semua pihak masyarakat sekolah ini, pencapaian UPSR telah menunjukkan suatu kemajuan dimana 3 orang mendapat keputusan 6A dan 2 orang mendapat 5A.  Sekolah ini juga telah dipilih menjadi "Sekolah Cemerlang" Peringkat Bahagian Pantai Barat Selatan pada tahun ini.  Pada bulan November tahun ini, seorang kerani yang berpengalaman dari Pejabat Pendidikan Daerah Penampang telah ditukarkan ke sekolah ini.

      Pada tahun 1996, bilangan kelas telah bertambah menjadi 25 dengan 46 orang guru dan 5 orang (KTBM).  Perhatian khas diberi kepada murid-murid Tahun 6, dengan pelbagai aktiviti dan usaha dijalankan agar mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR tahun ini.  Pihak sekolah dengan kerjasama PIBG telah menjalankan "Projek Anak Angkat" yang dilancarkan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Penampang pada 1 Mac 1996 dan Kelas Projek dan Kelas Bimbingan telah diadakan.  Selain itu, satu Program Perkembangan Staf telah diadakan pada 23 Mac, 1996.  Beberapa penceramah dari Jabatan Pendidikan telah dijemput untuk menjadi penceramah.  Seorang guru telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun ini.  PIBG sekolah ini telah memulakan Kelas Komputer bagi murid Tahun 1-6 dengan kerjasama pihak sekolah.  PIBG juga berjaya mengadakan Majlis Makan Malam Kutipan Tabung PIBG pada bulan April di sebuah restoran yang terkemuka.

      Sekolah ini telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam pertandingan yang disertainya sejak awal tahun ini.  Sekolah ini telah muncul sebagai Johan dalam Pertamdingan Syarahan dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu (Piala Perpaduan) Zon Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Ranau.  Seorang lagi wakil sekolah ini, Dominique Cashisne Chia telah mewakili Zon Kota Kinabalu ke pertandingan peringkat negeri Sabah yang berlangsung di Lahad Datu pada hujung bulan Julai 1996.
Wakil sekolah ini telah telah berjaya mendapat tempat ketiga Peringkat Negeri Sabah dan mewakili negeri ini ke pertandingan akhir peringkat kebangsaan di Kangar, Perlis.  Pada hujung tahun pula, Lembaga Pengurusan Sekolah juga telah berjaya menjalankan Malam Kutipan Tabung Pembangunan Royal Stout.  Pada tahun ini, sembilan orang murid telah memperolehi 6A dalam UPSR.

       Pada awal tahun 1997, bilangan murid ialah 1,263 orang.  Bilangan kelas meningkat kepada 26 buah, bilangan guru ialah 45 orang dan KTBM 4 orang.

      Sekolah ini stelah mencapai keputusan yang cemerlang dalam pertandingan-pertandingan yang disertainya.  Sekolah ini telah muncul sebagai Johan Pertandingan Choral Speaking di daerah Penampang dan menyandang hadiah Naib Johan di daerah Kota Kinabalu.  Dalam Pertandingan Alat Muzik Genderang Daerah Kota Kinabalu, sekolah ini telah mendapat hadiah Ketiga.  Seorang murid Tahun Tiga telah mendapat hadiah Ketiga dalam Pertandingan Karate Peringkat Negeri.  Selain itu dua orang lagi murid sekolah ini telah mendapat tempat Ketiga dalam Pertandingan Bercerita BC anjuran MCA Kawasan Kota Kinabalu.  Wakil sekolah ini telah muncul sebagai Johan dalam Pertandingan Bercerita B. Kadazan Daerah Penampang.  Dalam pertandingan-pertandingan lain seperti Kaligrafi, Melukis dan Syarahan BM, keputusan yang diperolehi juga cemerlang.

       Seorang daripada murid sekolah ini, Grace Jikinong telah mendapat 7A dalam UPSR.  Murid ini juga merupakan salah seorang daripada 15 orang murid dari 5 buah SRJK (C) di negeri Sabah yang mendapat 7A.  Sekolah ini dianugerahkan Sekolah Cemerlang Pantai Barat Selatan tahun ini.

      Pada tahun 1998, bilangan kelas meningkat kepada 28 buah.  Bilangan guru ialah 47 orang dan KTBM  6 orang.  Enrolmen murid pada awal tahun ialah 1,357 orang.

      Pasukan perbarisan sekolah ini telah muncul sebagai Johan di Sukan Zon 11 dan seorang olahragawan sekolah ini telah mewakili daerah Penampang sehingga ke Bahagian Pantai Barat Selatan.  Selain itu wakil sekolah juga dapat mewakili daerah Penampang dalam Pertandingan Ping Pong sehingga Bahagian Pantai Barat Selatan.  Seorang lagi wakil sekolah iaitu adik Ting Chiao Li telah muncul sebagai Johan Pertandingan Ujian Bertulis BM Peringkat Kota Kinabalu (Piala Perpaduan) dan seterusnya mendapat tempat ketiga di pertandingan yang sama di peringkat negeri.  Murid ini mewakili negeri Sabah ke pertandingan yang sama, peringkat kebangsaan yang diadakan pada bulan Oktober 1998 di Kota Kinabalu, Sabah.  Dalam Pertandingan Spelling Bee (BI) anjuran Intan Junior Chamber Kota Kinabalu, wakil-wakil sekolah telah mencul sebagai Johan, Naib Johan, Ketiga dan tiga hadiah saguhati.  Dalam Pertandingan Melukis pula, wakil-wakill sekolah telah mendapat Johan, Ketiga dan 6 saguhati.

      PIBG telah menganjurkan Larian Untuk Masa Depan Anak Kita, bertujuan untuk mengutip tabung pembangunan pada 27 September, 1998.  Larian tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Bernard G. Dompok.

      Oleh kerana bilangan murid terus meningkat, timbullah masalah kekurangan kelas.  Lembaga Pengurusan Sekolah pun merancang membina bangunan Blok B, sebuah bangunan 4 tingkat dengan (20) buah kelas.

      Pada awal tahun 1999, sekolah ini telah dilanda banjir kilat.  Banyak harta benda sekolah, khasnya perabot dan buku-buku telah musnah.

      Pada 28.01.99, Guru Besar, Encik Wong Kui Onn telah bersara.  Satu upacara khas telah diadakan pada hari terakhir beliau di sekolah ini.

      Jawatan beliau telah digantikan oleh Encik Arthur Kweh Kean Hock pada 01.03.99.

      Sebuah gelanggang bola keranjang telah siap dibina pada bulan april, 1999

      Lembaga Pengurusan Sekolah telah menganjurkan Larian LPS bertujuan untuk menambahkan lagi tabung pembangunan bagi pelaksanaan pembinaan bangunan Blok B yang masih  berkurangan.  Larian tersebut diadakan pada 19 September, 1999 dan dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Encik Francis J. Sibisin.

      Seorang daripada murid sekolah ini, Aifei Lee Oi Fei telah mendapat 7A dalam UPSR.

      Pada hujung tahun 1999, kerja-kerja pembinaan bangunan Blok B dimulakan.  Tiga buah bilik darjah sementara terpaksa dibina dan dua buah lagi dipinjam daripada Tadika Yue Min untuk menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah.

      Pada tahun 2000, bilangan kelas telah meningkat kepada 30 buah.  Dua orang murid iaitu
Chin Tet Fui dan Lim Ee Vui mendapat 7A dalam Peperiksaan UPSR.
      Bangunan Blok B  disiapkan pada bulan Mac 2001 dan mula digunakan pada 21 Julai 2001. Bangunan Blok B dirasmikan pada 21 Oktober 2001 dan Pasaria diadakan sempena hari tersebut.
      Pada tahun 2002, bilik komputer diperbesarkan untuk memuatkan 50 buah komputer baru.
 


Ke Organisasi

[ Perutusan Guru Besar ]   [ Organisasi ]   [ Sejarah Sekolah ]
[ Bimbingan & Kaunseling ]   [ Aktiviti Ko-Kum ]   [ Aktiviti PSS ]
[ Ruang Guru Bidang / Guru Pakar ]
[ Program Khas ]   [ Program BE ] [ Hasil Pelajar ]