Bahan Apa? Apakah Kegunaan Bahan? Apakah Ketagori Bahan? Dan Lain-lain...
Program PROTEKMEDIA – Promosi Pembinaan Bahan Pengajaran Dan Pembelajaran Berasaskan Internet Dan Multimedia.
2. KEDUDUKAN SEBELUM PROGRAM DILAKSANAKAN
Sebelum ini tiada jawatankuasa atau persatuan yang ditubuhkan di peringkat negeri untuk menguruskan pelaksanaan pembinaan bahan pengajaran dan pembelajaran berasaskan internet di sekolah-sekolah. Didapati hasil-hasil bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibina oleh guru hanya ada di pusat sumber sekolah dalam bentuk bahan fizikal, seperti folio, kad dan buku skrap sehingga kini kurang usaha mendokumentasikan secara jaringan internet. Pembinaan bahan pengajaran dan pembelajaran telah dibuat, tetapi adalah secara individu semata-mata atau pun atas galakan pihak pentadbir sekolah. Pada tahun 2007 BTPN Sabah memulakan langkah sistematik untuk membina bahan pengajaran dan pembelajaran berasaskan internet dan multimedia sekaligus menggalakkan warga pendidik mengamalkan penggunaan bahan dan teknologi di bilik darjah, di rumah, di pejabat untuk rujukan pendidikan.
3. MASALAH-MASALAH YANG DIHADAPI SEBELUM PROGRAM DILAKSANAKAN
Sebelum ini, pihak sekolah dan warga pendidik di negeri ini menghadapi kekangan tentang pembinaan bahan pengajaran dan pembelajaran berasaskan internet seperti berikut:
- Kurang kemahiran untuk membina bahan P&P berasaskan internet secara optimum dan berkesan maka melemahkan motivasi guru-guru untuk mengamalkan bahan internet dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran.
- Tiada stesyen atau pengkalan untuk mengumpul hasil bahan P&P yang dihasilkan oleh guru, maka bahan itu hanya digunakan setempat sahaja, sewajarnya perkongsian pintar adalah menjadi agen untuk melonjakkan perkembangan pendidikan di negara ini keseluruhannya.
- Tiada peluang untuk memperkembangkan hasil bahan P&P dan juga penghargaan serta ganjaran, sedangkan guru-guru mempunyai kemahiran dan berkebolehan untuk mengembangkan idea yang baik dalam pelaksanaan P&P.
- Sikap guru-guru tidak mahu menonjol atau mempromosi idea dan bahan, adakalanya mereka mempunyai pelbagai kemahiran dalam teknologi pendidikan tetapi kurang berkongsi maklumat, ini juga merugikan modal insan dan harta intelek.
- Tiada perkongsian dan tindakan susulan yang berterusan terhadap pelaksanaan pembinaan bahan P&P terutama sekali terhadap guru-guru yang telah diberikan kursus atau bengkel menyebabkan tiada hasil yang berterusan.
- Kurang galakan untuk memberi pengiktirafan sebagai hak cipta kepada pembina bahan dan harta intelek.
4. PROGRAM YANG TELAH DIJALANKAN
Bagi mengatasi masalah-masalah dalam perkara yang tersebut di atas, BTPN Sabah telah menganjurkan bengkel dan kursus secara praktikal terus kepada guru-guru sama ada individu atau pun berpasukan, seluruh Negeri Sabah melalui Pusat Kegiatan Guru. Bengkel ini dinamakan Program PROTEKMEDIA iaitu Promosi Pembinaan Bahan Pengajaran Dan Pembelajaran Berasaskan Internet Dan Multimedia.
4.1 APAKAH PROGRAM PROTEKMEDIA?
Bengkel Penghasilan Bahan Pengajaran Berasaskan Internet & Multimedia
Tujuan Bengkel adalah membantu guru mempertingkatkan kemahiran profesion keguruan yang lebih kreatif dengan mengintegrasikan bahan internet dan multimedia. Kursus ini juga melatih para peserta mengenai aspek teori dan praktikal dalam membangunkan aplikasi multimedia pendidikan yang boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran. Peserta kursus kemudiannya akan membangunkan bahan P&P untuk subjek pilihan menggunakan perisian internet dan bahasa pengarangan (Authoring Language) berlandaskan kepada teori, prinsip dan prosedur serta kurikulum pendidikan. Semuanya ini bagi memastikan aplikasi multimedia pendidikan yang akan dibangunkan adalah menarik dan berkesan serta sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Objektif Khusus Bengkel:
Di akhir pelaksanaan program, diharapkan :
1. guru-guru dapat menggunakan peralatan ICT (komputer) dalam Pengajaran dan Pembelajaran
2. guru-guru dapat merancang dan merekabentuk aplikasi multimedia & bahan internet
3. guru-guru dapat menghasilkan bahan P&P secara "web-Learning" selaras dengan kurikulum.
4.2 APAKAH TUJUAN UTAMA PROGRAM PROTEKMEDIA?
Mencungkil kreativiti guru yang berpengetahuan tinggi dalam penggunaan dan penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran yang boleh dikongsi bersama oleh semua pengamal internet.
- Membantu guru-guru yang menghadapi masalah pengajaran dan pembelajaran melalui bahan bantu yang boleh dicapai di internet.
- Meningkatkan hasil bahan P&P secara berterusan dan memupuk kemahiran menggunakan ICT di bilik darjah.
- Meningkatkan kerjasama dan perkongsian pintar yang boleh merapatkan jurang digital antara sekolah, guru, murid dan ibubapa.
- Melahirkan pasukan guru pakar dalam penghasilan bahan internet dan multimedia.
5. FAEDAH-FAEDAH DARI PROGRAM YANG TELAH DIPERKENALKAN
5.1 Pengurangan Kos Operasi
Walaupun kos agak banyak digunakan pada permulaannya bagi melatih guru-guru dalam melaksanakan bengkel dan kursus, namun untuk jangka panjang ia sangat menguntungkan kerana BTPN Sabah dapat mengumpulkan semua hasil kreativiti guru seluruh negeri dan menempatkannya dalam satu pengkalan yang bersistem dan sesiapa sahaja boleh mengakses selagi ada talian internet. Guru-guru yang telah berbengkel akan terus membina bahan P&P secara berterusan dan mengamalkan perkongsian maklumat untuk semua, ini menjadikan ilmu pengetahuan akan mudah dicapai dimana-mana saja.
5.2 Penjimatan Masa
Melalui internet dengan talian yang baik sudah tentu guru-guru dan pengguna akan boleh mengakses bahan pengajaran dan pembelajaran dan digunapakai terus di bilik darjah. Penjimatan masa sangat berkesan untuk menyampaikan sesuatu konsep atau isi kandungan pengajaran yang dibantu oleh grafik dan animasi multimedia. Menarik perhatian murid dan mesra pengguna, lalu tidaklah membuang masa malah menjimatkan.
5.3 Peningkatan Hasil Kerja
Sesungguhnya hasil Program PROTEKMEDIA ini sangat menggalakkan guru menggunakan teknologi dalam pengajaran seharian. Kemahiran ini berterusan apabila guru membina sendiri bahan-bahan P&P dengan baik dan boleh memperbaiki lagi pada masa-masa akan datang. BTP dan BTPN Sabah telah membuka ruang untuk semua warga pendidik melahirkan kreativiti dan inovasi masing-masing dan saling bekerjasama lalu semua hasil bahan P&P itu diselaraskan dalam pengkalan data di BTPN Sabah.
Promosi dan penggalakkan penggunaan bahan teknologi yang menjadi tanggungjawab kami semua dapat disalurkan kepada guru-guru melalui bengkel dan program ini.
Di antar tahun 2007 dan 2008, sebanyak 11 bengkel dapat dijalankan dan seramai 194 orang guru terlibat seara aktif merangkumi 92 buah sekolah seluruh Sabah. Manakala 61 bahan bantu mengajar (BBM) dapat dihasilhan dan telah dikumpul di alamat http://www.sabah.edu.my/promedia Program ini dibuat adalah merujuk kepada PIPP (Merintis Perubahan dan Pembaharuan) dan SAGA (Smart Action Golden Achievement ) yang berhasrat mencapai 300 guru dan 300 sekolah sehingga menjelang 2011 akan datang.
5.4 Peningkatan Dalam Tahap Kepuasan Hati Pelanggan
Kewujudan Program PROTEKMEDIA ini telah melahirkan kumpulan guru yang mahir dalam membina Bahan Bantu Mengajar (BBM) berasaskan internet dan multimedia di sekolah-sekolah. Melalui pembinaan bahan ini seluruh warga pendidik seluruh negara memperoleh faedah dengan menggunakan bahan yang tersedia di internet. Kemampuan guru-guru membina bahan yang mengikuti kurikulum di semua peringkat adalah sangat menggalakkan apatah lagi jika siap 100% pada masa akan datang. Bahan ini boleh diganti, dibaiki dari semasa ke semasa. Pendek kata mesra pengguna sangat ditekankan semasa pembinaan bahan itu.
Sudah tentu semua bahan boleh diakses selagi ada capaian internet. Semua guru boleh bekerjasama membaiki jika terdapat kelemahan atau menambah baik jika ada kaedah lain yang lebih baik untuk disampaikan. Perkongsian pintar untuk pendidikan adalah sangat berkesan dalam menempuh dunia digital masa kini.
oleh : Daud Hj.Yahaya