Sejarah Institut   Halaman Utama

Majlis Perasmian Institut Perguruan Gaya pada 4 Julai 1963.

Institut Perguruan Gaya telah dinaik taraf sebagai Institut Pendidikan Guru yang boleh menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan mulai tahun 2006 dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Institut Perguruan Gaya yang sebelum ini dikenali sebagai Maktab Perguruan Gaya telah diubah namanya secara rasmi pada Jun 2006.

Institut Perguruan Gaya, telah dibuka dengan rasminya oleh Gabenor Sir William Goode pada 4 Julai 1963. Pada tahun pertama penubuhannya, Pengetua IPG ialah Mr. J.E Tod yang dibantu oleh 6 orang pensyarah untuk melatih 83 orang guru.

Institut perguruan terletak di kawasan bukit seluas 19.4 hektar kira-kira 2 km dari bandar Kota Kinabalu. Ia berdekatan dengan Hospital Ratu Elizabeth, Muzium Negeri dan Masjid Negeri serta pusat-pusat membeli belah di Karamunsing dan Luyang.

Di antara tahun 1963-1981, IPG diuruskan di bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Pada tahun 1981, sesuai dengan usaha kerajaan untuk menyelaraskan pentadbiran semua Maktab perguruan di seluruh negara, tanggungjawab pentadbiran dan pengurusan Institut Perguruan Gaya telah dipindahkan ke Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementeriaan Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.

Kurikulum dan sistem latihan yang dilaksanakan di Institut Perguruan Gaya adalah sama seperti di institut-institut lain di Malaysia. Kurikulum perguruan ini meliputi bidang akademik, pengkaedahan, kokurikulum dan praktikum yang wajib diikuti oleh semua pelajar.

Jangkamasa Kursus Diploma Perguruan Malaysia ialah tiga tahun yang dibahagikan kepada 6 semester. Prestasi pelajar dinilai daripada pencapaian peperiksaan, praktikum, kerja kursus dan gerakkerja kokurikulum.

Selaian daripada Kursus Diploma Perguruan Malaysia Institut Perguruan Gaya juga mengadakan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi pelajar berijazah selama dua semester, Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) selama setahun dan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) yang dikendalikan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dua program / kursus baru dikendalikan oleh institut iaitu Program Bachelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (B.Ed TESL) bermula sejak Julai 2002 (Program Kembar bersama UiTM) dan Program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Sekolah Rendah bermula Januari 2003.

Institut Perguruan Gaya juga mengendalikan beberapa Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP). Antaranya ialah Komputer Dalam Pendidikan, Bahasa Inggeris dan Pengajaran dan Pembelajaran Bestari. Semua urusan pengambilan guru dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Institut Perguruan Gaya juga memulakan kursus pendek bagi Program Latihan Perguruan Institusi Pendidikan Swasta, Calon Persendirian Dan Agensi Luar Kementerian Pendidikan mulai 2000. Mulai 15 Disember 2003 Institut Perguruan Gaya mengendalikan kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS). Pengambilan KPLI (Sekolah Rendah) j-QAF (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain) Mod LPBS telah dilaksanakan pada Januari 2005.

Pada 6 Mei 2006 Maktab Perguruan telah dinaiktaraf sebagai Institut Pendidikan Guru (IPG). Sebagai Institut Pendidikan Guru, institut boleh menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Keguruan.


:: Pembentukan Awal Nama Institut

Pada tahun 1963, satu jawatankuasa telah dibentuk di antaranya ialah Pengerusi JawatanKuasa Pendidikan, Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Pengarah Pendidikan yang bertujuan untuk memberi cadangan nama-nama yang sesuai untuk diberikan kepada institut. Nama-nama yang telah dicadangkan oleh jawatankuasa untuk pertimbangan ialah:

Maktab Perguruan Jesselton
Maktab Gaya
Maktab Singgah Mata
Maktab Perguruan Sabah

Pemilihan yang telah dibuat adalah bersesuaian dengan nama yang dapat melambangkan imej negeri Sabah, di mana Encik J.E. Tod, pengetua pertama institut ini telah mencadangkan nama “Maktab Gaya”. Ini adalah kerana namanya yang berasal dari “Pulau Gaya”. Ini menunjukkan di mana institut ini akan berkhidmat kepada seluruh Negeri Sabah.

Kesemua alternatif ini telah dikemukakan kepada gabenor pada masa itu, gabenor Borneo Utara, Sir William Goode GCMG. Setelah berunding dengan jawatankuasa perundangan negeri, nama “Maktab Gaya” merupakan pemilihan yang sesuai.

Pada tahun 1973, nama ini telah diubahsuai oleh jabatan pendidikan negeri bersama dengan jabatan ketua menteri sebagai MAKTAB PERGURUAN GAYA yang amat bersesuaian dengan latihan yang diberikan kepada institut ini.

 

 

Pengetua Pertama, Mr. J.E Tod

 

:: Carta Masa Sejarah Institut Perguruan Gaya

1963
Pada 22 April 1963, kursus perguruan sekolah rendah pertama dimulakan di IP Gaya dengan 83 orang pelatih dan 6 orang pensyarah. Pengetua pertama MP Gaya adalah En. J.E. Tod.


MP Gaya telah dinamakan dan dirasmikan pada 4 Julai 1963 oleh Gabenor Borneo Utara, Sir William Goode, K.C.M.G.

MP Gaya telah bermula dengan sebuah blok asrama, tempat kediaman pengetua dan naib-pengetua. 2 blok pangsapuri untuk pegawai dan perumahan untuk kakitangan yang lain.

1964
Infrastruktur: Blok Kuliah, bilik Seni, bilik ERT, blok Pentadbiran dan bengkel Seni Perusahaan ditambahkan.
Kursus-kursus untuk menyediakan guru-guru sekolah menengah dimulakan.

1965
Infrastruktur: Dewan Besar, dewan kuliah, perpustakaan, gelanggang tenis, gelanggang bola keranjang dan padang permainan telah siap dibina.

1967
Infrastruktur: Asrama perempuan ditambahkan.

1968-1969
Infrastruktur: Bilik Pandang-Dengar, bilik Geografi, 2 unit tempat kediaman bagi pegawai divisyen 1 dan 4 unit tempat kediaman pegawai divisyen 2 dibina.

1970
Infrastruktur: Satu unit tempat kediaman unutk pegawai Divisyen 1.

1971
Mulai tahun ini, Bahasa Malaysia secara beransur-ansur diperkenalkan sebagai bahasa perantaraan.
Infrastruktur: Sebuah flat untuk pegawai divisyen 2 ditambahkan.

1976
Bahasa Malaysia menjadi bahasa perantaraan bagi semua kursus.

1977
Sebelum tahun in, bilangan guru pelatih untuk pengajian sekolah rendah dikurangkan dan mulia tahun ini, maktab akan mengendalikan kursus untuk pengajian sekolah menengah sahaja.
Program Integrasi Latihan Guru diperkenalkan. Sebelum ini, maktab-maktab mengunakan kurikulum dan sistem peperiksaan tersendiri.
Kursus latihan guru untuk guru sementara/sandaran dikendalikan pada masa cuti sekolah diperkenalkan.

1978
Pengambilan pelatih untuk pengajian di maktab dipindah dari Jabatan Pendidikan Negeri ke Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

1981
Kawalan pentadbiran maktab dipindahkan ke Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur. Sebelum ini pentadbiran adalah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

1982
Kursus-kursus untuk pengajian guru sekolah rendah dimulakan semula.
Kursus latihan guru 3 tahun seperti yang dijalankan di maktab perguruan yang lain diperkenalkan.
Pengambilan pelatih dikendalikan oleh Unit Pengambilan dan Penempatan, Bahagian Pendidikan Guru.

1983
Infrastruktur: Blok kuliah E, flat untuk pegawai divisyen 2, asrama lelaki yang baru, makmal Bahasa dan bilik pengajaran mikro yang lengkap dengan teknologi yang terkini didirikan.

1988
Maktab merayakan ulangtahun yang ke-25.

1990
Makmal komputer yang pertama (mesin 286) dirasmikan. Makmal ini adalah untuk mengendalikan kursus Ekonomi dan Perdagangan. Selain daripada itu, semua pelatih juga diperkenalkan kepada program komputer.

1993
Surau maktab telah siap didirikan di tapak gelanggang tenis dan bola keranjang yang lama. Gelanggang tenis dan bola keranjang yang baru telah dibinakan di tapak yang lebih luas dan sesuai.
Maktab menerima makmal komputer (mesin 386) yang kedua - Bahagian Pendidikan Guru.

1994
Kursus Dalam Perkhidmatan 14 Minggu - Komputer Dalam Pendidikan dimulakan dengan 20 orang peserta dari sekolah-sekolah di negeri Sabah. Kursus ini diadakan 2 kali setahun.

1996
Maktab menerima makmal komputer yang ketiga (Pentium 100) dari Bahagian Pendidikan Guru. Kursus 2 minggu untuk melatih Jurulatih Utama Komputer untuk Jabatan Pendidikan Negeri dimulakan.

1998
Kursus Dalam Perkhidmatan 14 Minggu - Komputer Dalam Pendidikan digantikan dengan Latihan Guru Sekolah Bestari untuk menyediakan guru-guru untuk 7 buah Sekolah Bestari di Sabah.
Maktab merayakan ulang tahun ke-35.

1999
Pada tahun ini, satu program baru telah dimulakan di maktab - Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) di maktab dengan kolaborasi dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengendalikan tahun pertama kursus sarjana muda bagi guru-guru bukan siswazah dari sekolah-sekolah Sabah dan Sarawak dalam mata pelajaran matematik dan TESL.

2000
Kerja pembinaan blok asrama baru telah bermula dan dijangka siap pada tahun 2004. Maktab mulai mengendalikan Kursus Sijil Perguruan Khas satu tahun dalam bidang Teknologi Maklumat, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bagi peserta-peserta yang terdiri daripada guru-guru sekolah di seluruh Sabah.

Visi, Misi & Falsafah Pendidikan / Piagam Pelanggan / Sejarah / Lokasi / Logo / Organisasi / Kursus / Kemudahan / Kalendar / Koleksi Ilmiah

 
Halaman Utama

PENAFIAN
Institut Perguruan Gaya tidak bertanggungjawab ke atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang disediakan melalui laman web ini.

Hakcipta Terpelihara© 2007 Laman Web oleh Institut Perguruan Gaya.