Maktab Sabah, sekolah menengah kerajaan yang pertama di Sabah
telah dikenali sebagai Government Secondary School (Technical) pada masa penubuhannya pada 16 Januari 1957. Nama
asal ini telah ditukarkan kepada Maktab Sabah atas cadangan Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Tun Datu Mustapha
Bin Datu Harun pada 1961.
Cadangan untuk penubuhan sebuah sekolah menengah
kerajaan yang pertama di Sabah sebenarnya telah dikemukakan oleh Pengarah Pendidikan Borneo Utara yang pertama,
P.E. Perry pada 1947. Namun cadangan itu mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk dilaksanakan. Pada peringkat awal,
Beaufort telah dicadangkan sebagai tempat untuk pembinaan sekolah menengah kerajaan yang pertama di sabah. Kemudiannya
Jesselton (Kota Kinabalu) pula telah menjadi pilihan.
Setelah Jesselton dipilih, timbul pula masalah
tapak. Di antara tapak yang pernah dicadangkan ialah tapak sekolah menengah All Saints sekarang, Kepayan, dan tapak
Hospital Ratu Elizabeth sekarang. Tapak Maktab Sabah dipilih pada tahun 1955 dan tapak jumlah keluasannya ialah
16.77 ekar. Keluasan ini terdiri daripada 3 lot tanah,iaitu kawasan padang 6 ekar, kawasan sekolah 4.8 dan kawasan
asrama 5.97 ekar.
Mengikut Perancangan kerajaan Inggeris, sekolah
menengah kerajaan pertama ini akan menganjurkan kursus 5 tahun untuk sijil Cambridge dan 2 tahun tambahan untuk
Sijil Tinggi Persekolahan bagi pelajar-pelajar yang paling cerdik di Borneo Utara. Rancangan pembinaan sekolah
ini telah diluluskan di London pada 1956. 90% kos pembinaan sekolah ini datang daripada Colonial Development Welfare
Fund dan bakinya datang daripada sumber-sumber tempatan.
Setelah tapak dipilih, kerajaan terpaksa mengambil
masa untuk memindahkan Civil Aviaton Departmant dan Pauper Instution yang menduduki tapak Maktab Sabah sekarang.
Oleh yang demikian, Maktab Sabah menggunakan rumah atap usang yang terletak di SRK Tanjung Aru sekarang sebagai
bangunan sementara apabila pelajaran dimulakan pada awal 1957.
Menurut pengetua Maktab Sabah yang pertama,
G.Clarke, keadaan sekolah dan bangunan itu telah digambarkan sebagai "An old board and atap house
as an office and spare classroom. Part of the house served was also used as a garage until one day a strong wind
blew that part of it down....local children, dogs and chicken joined in our lesson."
Kemudian pada awal 1958,Maktab Sabah telah
berpindah ke rumah kajang yang dikosongkan oleh Sekretariat Negeri yang telah berpindah ke bangunan barunya.Menurut
G.Clarke lagi, keadaan rumah kajang itu ialah "....the walls were not all sound proof, insects
and dirt fell on us and dogs fought and raised their families under the floors."
Kisah-kisah ini membayangkan keadaan fizikal
Maktab Sabah dan secara tidak langsung, sekolah-sekolah lain di negeri Sabah pada masa itu.
Maktab Sabah telah berpindah ke tapak tetapnya
sekarang pada bulan Ogos 1959.Sebahagian bangunan Asrama telah siap pada Januari 1959.