Upacara Perkahwinan

               

       Orang-orang Bajau mempunyai adat perkahwinan yang agak unik di kalangan kaum-kaum di Sabah ini. Ini kerana adat perkahwinan mereka melibatkan upacara-upacara yang lain dari yang lain.

        Sebelum hari perkahwinan tiba, Upacara Penyucian Mapaci dijalankan. Kadang-kadang upacara ini diadakan beberapa hari sebelum hari perkahwinan. Nama Mapaci diambil daripada perkataan 'Paci' atau 'Pacar' iaitu sejenis tumbuhan yang mengeluarkan cecair merah selepas dihancurkan. Pacar ini diletakkan ditelapak tangan pengantin perempuan sebagai penyucian sebelum berkahwin. Perkataan Mapaci juga dikatakan diambil daripada 'pemacian' atau maksudnya pembersihan dari bahasa Bugis. Cecair merah ini juga digunakan untuk mewarnakan kuku pengantin perempuan sejak turun-temurun lagi

        Aktiviti sebelum menjelangnya hari perkahwinan adalah tarian, memainkan muzik kecapi, pertunjukkan pakaian tradisional serta pakaian perkahwinan. Aktiviti-aktiviti ini biasanya diadakan pada sebelah petang. Semasa hari perkahwinan dijalankan, pengantin lelaki bersama-sama sanak-saudaranya akan ke rumah pengantin perempuan. Bergantung kepada situasi, pengantin lelaki ada kalanya menunggang kuda bersama-sama saudaranya ke rumah pengantin perempuan. Rombongan pengantin lelaki ini juga disertai gadis-gadis muda yang memakai baju tradisional mereka yang berwarna-warni dengan membawa hantaran serta derma kepada keluarga pengantin perempuan. Hantaran perkahwinan termasuklah emas, kain-kain serta set berlian.

        Selepas rombongan pengantin lelaki itu tiba, mereka semua akan bersalam-salaman dan kemudian upacara akad nikah akan dilangsungkan. Upacara ini disaksikan oleh seorang warga kaum Bajau yang terkenal atau dihormati contohnya ketua kampung.  Setelah upacara ini diselesaikan, para jemputan akan dijemput untuk menjamu selera manakala pasangan pengantin akan duduk bersanding. Acara-acara tambahan akan dilangsungkan pada sebelah petang seperti tarian untuk menandakan kemuncak upacara perkahwinan dan untuk mengalu-alukan kedatangan para tetamu.