Sejarah & Asal Usul Daerah Penampang

 

           Penampang ialah salah sebuah daerah yang paling terkenal di Negeri Sabah. Daerah ini terletak di residensi pantai barat iaitu 11 kilometer (KM) dari pusat bandaraya Kota Kinabalu dan berkeluasan 466 198 KM˛ iaitu dari sekitar kawasan Moyog hingga ke kawasan Petagas. [Lihat peta satelit]

          

           Pada asalnya daerah ini dipanggil Putatan kerana sebelum tahun 1925, pentadbiran daerah adalah dibawah pentadbiran putatan. Perkataan Putatan diambil sempena nama ‘Putat’ iaitu sejenis pokok yang boleh dimakan buahnya disamping dibuat ulam untuk dimakan bersama nasi.

          

           Pada tahun 1925, pentadbiran daerah ini dipindahkan kepada Kasigui dan nama daerah in turut ditukar kepada ’Penampang’ yang sehingga hari ini digunakan oleh daerah ini. Nama ‘Penampang’ berasal daripada perkataan ‘Pampang’ yang bermaksud ‘Batu’ dalam bahasa Kadazan.

          

           Pada masa dahulu, para penduduk daerah ini bekerja sebagai petani dan nelayan. Walaubagaimanapun, selepas sistem pendidikan dan kemudahan infrastruktur yang baik diperoleh selepas kemerdekaan Sabah, penduduk daerah ini beralih kepada pekerjaan di sektor awam dan swasta.

          

           Kegiatan pertanian di daerah adalah sangat giat dijalankan pada masa dahulu. Antara jenis tanaman yang ditanam di daerah ini ialah Padi Beras (Wetland Paddy Rice) iaitu seluas 2 470.17 Hektar, Getah (Rubber) iaitu seluas   7 347.96 Hektar, pertanian pindah (Shifting Cultivation) sebanyak 6 355.96 Hektar dan Pertanian Campur/Tanaman Pelbagai seluas 2 789.70 hektar. Oleh kerana harga getah merosot pada suatu ketika dahulu, kegiatan pertanian pokok getah dialihkan kepada penanaman kopi dalam Rancangan Malaysia Ke-3 (RMK-3).