Tarian suku kaum Momogun Rungus ditarikan oleh seorang lelaki dan beberapa orang perempuan. Tarian yang dinamakan Sumundai-Mongigol ini diiringi dengan paluan gong. Apabila lelaki dan perempuan sama-sama menari, ia dipanggil "miandak" dalam bahasa Rungus. Tarian Sumundai-Mongigol ini ditarikan apabila tiba Pesta Kaamatan, majlis perkahwinan, kematian, keraian ataupun ketika menyambut tetamu yang istimewa.
Kadang-kadang semasa tarian ini ditarikan, beberapa orang Rungus akan membawa beberapa gelas arak buatan sendiri seperti "kinomol" yang diperbuat dari beras dan "tinonggilan" yang diperbuat dari jagung untuk para tetamu yang hadir dalam majlis berkenaan. |