Profil Pautan
Anjung Sejarah Kebudayaan Adat Resam Agama & Kepercayaan Kegiatan Ekonomi Taburan Penduduk Galeri
Kebudayaan Suku Kaum Rungus
 
 

Rumah Panjang Momogun Rungus

Suku kaum Rungus tinggal di rumah panjang yang disebut sebagai vinatang dalam bahasa Rungus. Vinatang ini adalah satu kebanggaan bagi suku kaum Rungus kerana ia menggambarkan ciri-ciri unik yang ada pada bangsa mereka. Rumah panjang ini, yang lazimnya sepanjang 300 kaki panjang, biasanya dibina atas bukit dan dinaikkan. Ruang bawah rumah panjang ini digunakan untuk memelihara binatang seperti ayam,babi, dan kerbau selain berfungsi sebagai tugu kepada serangan luar.

Menurut Rutter (1929: 62),di kawasan pergunungan atau pedalaman Borneo, kampung penduduk peribumi diwakili oleh rumah panjang yang berfungsi sebagai tugu melindungi penghuni-penghuninya. Kampung peribumi ini bersifat cukup-diri, lengkapdiri, berdikari serta bebas daripada dunia luar.

Sehubungan dengan pemasaran kepelbagaian budaya Sabah, yang menjadi tumpuan pokok adalah budaya komuniti Rungus (Kerajaan Negeri Sabah, 1996: 175, 202, 423, 465; Sabah Tourism Promotion Corporation 1999: 1) dengan kemasukan rumah panjang tradisi orang Rungus dalam Rancangan Dasar Pelancongan Kedua, Sabah (Kerajaan Negeri Sabah 1996-2010: 465-469) sebagai salah satu produk pelancongan budaya.

Sebuah rumah panjang boleh mengandungi beberapa keluarga domestik yang menetap di dalamnya. Bilangannya tidak tetap, mungkin tujuh, sepuluh atau lima puluh keluarga domestik, bergantung kepada keinginan pasangan suami isteri untuk tinggal dalam rumah panjang berkenaan atau sebaliknya. Keluarga domestik adalah kelompok sosial yang paling menonjol di kalangan orang Rungus.

Rumah panjang merujuk kepada satu ruang petempatan sepunya. Semua penghuni berkongsi semua yang ada dalam rumah panjang. Semua penghuni tidur dalam bilik yang sama, buat kerja yang sama, mempunyai perlakuan yang sama. Tiada konsep milikan peribadi, ruang peribadi, peraturan, undang-undang. Setiap penghuni boleh berada di mana-mana dalam rumah panjang, bebas bertingkah laku tanpa sekatan, kawalan atau hukuman (Perbadanan Penggalakan Pelancongan Malaysia 1999)

Rumah panjang tradisi Rungus mengandungi satu siri rumah yang bersambungan, setiap satunya dimiliki oleh keluarga domestik tertentu secara berasingan. Appell (1963) menamakan ‘rumah’ dalam rumah panjang sebagai apartment sementara untuk orang Rungus, rumah ini dinamakan sirang (Ong 2000: bab 2). Sirang adalah tempat tinggal keluarga domestik. Seperti konsep rumah moden yang mempunyai bahagian-bahagian tertentu untuk kegiatan kerja yang berlainan, sebuah sirang juga mempunyai bahagian-bahagian, masingmasing dikaitkan dengan kegiatan kerja tertentu.

Sebuah sirang atau rumah keluarga domestik mempunyai dua bahagian utama, iaitu ongkob dan apad. Appell (1978: 155) menterjemahkan ongkob sebagai compartment (ruang tertutup/tempat tidur dan dapur), dan apad sebagai gallery (ruang terbuka/serambi). Ongkob merupakan ruang peribadi keluarga domestik. Dinding dibina mengelilingi ongkob, berfungsi sebagai sekatan sempadan bagi setiap sirang/rumah keluarga domestik. Apad adalah ruang awam keluarga domestik dan ia terbuka kepada pandangan umum. Dinding juga dibina untuk memisahkan sempadan ongkob dan apad. Sebuah pintu dipasang untuk membolehkan penghuni sirang keluar masuk ruang ongkob.

Dalam ongkob (ruang peribadi keluarga), terdapat sub-bahagian yang dikhaskan untuk kegiatan-kegiatan tertentu: ropuhan (tempat masak), salow (tempat cuci dan sediakan makanan), lansang (tempat lalu lintas, tempat makan), dan tingkang (tempat tidur). Kedudukan tingkang lebih tinggi daripada lansang dan diperbuat daripada bambu-bambu besar yang dibelah kecil. Tingkang di bahagian ongkob adalah tempat tidur suami isteri, anak-anak kecil, anak perempuan belum berkahwin dan tetamu wanita.

Ruang apad (ruang awam keluarga), pula berfungsi sebagai serambi dan tempat kerja keluarga domestik. Ruang ini terbahagi kepada: lansang (tempat lalu lintas, dan digunakan untuk menumbuk padi, ubi, memotong kayu, mengadakan tarian dan upacara ritus), salow (tempat menyimpan penumbuk padi), tingkang (tempat tidur lelaki remaja dan tetamu lelaki, tempat istirehat keluarga, tempat buat kraftangan, menganyam bakul, menyulam, melayan tetamu, mengadakan upacara ritus, tempat budak-budak sekolah belajar, dan tempat menangon/bercerita. Bahagian apad, meskipun tidak berdinding, namun sempadannya dibatasi mengikut keluasan ongkob.

Setiap sirang juga mempunyai ruang untuk menyimpan barang yang tidak kerap digunakan. Ruang ini dinamakan abai dan letakannya adalah di atas
ongkob. Kedudukan abai ini tidak begitu tinggi, lebih kurang enam kaki dari lantai lansang bagi memudahkan pengambilan barang. Terdapat satu ruang lagi untuk penyimpanan barang yang kerap digunakan, iaitu linsosod atau borolungan. Linsosod dibina di bahagian depan rumah panjang, bersebelahan dengan apad keluarga domestik (Ong 1995: 231-232).

Pada penghujung rumah panjang di kedua-dua belah kiri dan kanan, dipasangkan tangga diperbuat daripada sebatang kayu besar yang ditakuk setiap beberapa inci atau kayu-kayu bulat yang dipahat menjadi tangga biasa. Bahagian apad yang tidak berdinding dan pada prinsipnya boleh digunakan oleh semua ahli rumah panjang menimbulkan salah sangka bahawa bahagian apad adalah ruang sepunya, dimiliki dan digunakan oleh semua penghuni. Begitu juga dengan bahagian lansang di kawasan apad.

Persambungan lansang milikan keluarga domestik dengan lansang-lansang lain di kawasan apad menyediakan tempat laluan kepada penghuni rumah panjang. Namun, ini tidak bermakna tidak ada penghuni yang bertanggungjawab secara khusus terhadap keadaan lansang ini. Setiap keluarga domestik bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keadaan baik lantai lansang di hadapan ongkob masing-masing agar laluan penghuni lain dalam rumah panjang tidak terganggu dan keselamatan mereka tidak terjejas. Begitu juga dengan tingkang di bahagian apad. Setiap tingkang berkenaan adalah kepunyaan sebuah keluarga domestik. Sempadan milikan ini ditandakan dengan dua batang tiang untuk menunjukkan sempadan ruang yang dimiliki oleh keluarga berkenaan.

Pemilikan peribadi setiap keluarga domestik ke atas sirang masing-masing dan bahagian ongkob dan apad yang berkaitan bukan saja ditandakan oleh pengasingan sempadan fizikal. Pemilikan peribadi ini juga diperkukuhkan oleh berbagai ritus yang akan dikendalikan oleh keluarga domestik pada masa yang diperlukan, dan juga oleh berbagai peraturan dan larangan yang berfungsi untuk mengawal perlakuan penghuni rumah panjang agar menghormati hak dan keselesaan hidup setiap penghuni rumah panjang. Terdapat ritus yang memerlukan kawasan tingkang di bahagian apad kepunyaan sesebuah keluarga domestik dipagarkan untuk membezakannya dengan bahagian apad milikan keluarga domestik lain.

Melalui petanda-petanda fizikal, ritus dan larangan norma perlakuan, penghuni rumah panjang tahu dan patuh kepada sempadan masing-masing. Mereka tidak menganggap bahagian apad sebagai ruang sepunya yang boleh digunakan oleh semua penghuni rumah panjang pada bila-bila masa. Hubungan sosial dan tingkah laku di kalangan penghuni rumah panjang amat teratur dan terkawal oleh ritus, larangan dan isbat yang amat kompleks. Ada individu yang dibenarkan masuk ruang tertentu atau berada di kawasan tertentu pada masa tertentu. Ada benda yang dibenarkan dibawa masuk ke dalam rumah panjang atau ongkob dan ada benda yang dilarang sama sekali dibawa masuk ke dalam rumah panjang atau ongkob.

Penghayatan kepada pengasingan ruang di bahagian apad, dan dalam rumah panjang amnya diperjelaskan lagi dengan tindakan keluarga domestik yang ingin berpindah dari rumah panjang. Keluarga domestik ini mungkin akan mengambil bersama mereka kesemua lantai papan atau bambu di bahagian apad.

Orang Rungus sendiri mempunyai penjelasan tentang rasional di sebalik pemilihan rumah panjang sebagai pola petempatan komuniti mereka. Mengikut individu Rungus yang berpengetahuan tentang adat tradisi Rungus dan sejarah hidup orang Rungus zaman dahulu, rumah panjang adalah strategi kelangsungan hidup dalam suasana alam dan suasana hidup yang amat tidak pasti dan mengancam. Sebagai komuniti yang hidup dalam kawasan pedalaman dikelilingi dengan hutan hujan tebal, haiwan liar, terdedah kepada keadaan alam yang tidak dapat diramal, dan manusia lain yang hidup berhampiran, orang Rungus ini terpaksa bergantung kepada anggota kumpulan untuk saling membantu menyara hidup seharian. Jarak fizikal dari segi kedekatan petempatan adalah satu cara bagaimana mereka dapat menghubungi satu sama lain dalam masa yang paling cepat dan singkat. Melalui persambungan rumah kepada rumah sebelah dan begitu seterusnya, para penghuni rumah berkenaan tidak perlu turun ke tanah, sebagaimana keadaannya dengan rumah sebuah, kalau mereka perlu menghubungi jiran atau kerabat yang menetap berhampiran. Keadaan ini mengurangkan kebarangkalian diserang oleh haiwan atau pihak lawan yang mengendap menunggu masa sesuai untuk menyerang.
 
 
 
 
 

Pelan Rumah Panjang Momogun Rungus
( Klik pada imej untuk paparan yang lebih besar )

Pelan 'Sirang'
Pelan 'Vinatang'
 
 
 
 
 

Kampung-Kampung Yang Mempunyai Rumah Panjang Momogun Rungus

Dalam kajian Ong et.al. (2004, 20), antara kampung-kampung di daerah kecil Matunggong yang mempunyai rumah panjang berpenghuni ialah Kg Tinangol, Kg. Hobut, Kg Mompilis, Kg Garib,Kg Barangkason, Kg Onduon, Kg Mombatu Darat, Kg Mombatu Laut,Kg Nangka, Kg Tinutudan, Kg Kindangan, Kg Panudahan Jambu, Kg Gombizau, Kg Muhang dan Kg Minikodong.
 
 
...
  Menu