Hukum Adat Dan Pantang Larang Perempuan Yang Sedang Hamil

Jika ada seseorang yang memotong kayu dengan menggunakan parang, kemudian parang tersebut disimpan di atas bahu perempuan hamil maka kata orang dahulu kala pantang kerana "kotiguras" bermaksud sial.Menjadi pantang bagi seorang perempuan hamil dilakukan sedemikian rupa kerana perempuan hamil sama sekali tidak boleh dikejutkan seperti seakan-akan dipukul dengan mengunakan kayu, parang dan sebagainya.

Sesiapa yang melakukan demikian ke atas perempuan hamil, maka orang tersebut akan dikenakan sogit. Sogit ini biasanya sebagai penyelamat kepada perempuan hamil yang terkejut itu.Hal ini kerana apabila si ibu terperanjat, maka bayi dalam kandungan juga ikut terperanjat lalu bergerak dan menyebabkan keguguran.Kalau pun tidak keguguran, tetapi bayi yang dilahirkan mungkin boleh menjadi cacat atau pun menjadi seorang yang mudah terkejut, mudah diserang penyakit dan sebagainya.

Si pesalah yang membuat perempuan hamil terkejut akan dikenakan sogit peringkat pertama iaitu seekor ayam berharga RM10.00 untuk diberikan kepada perempuan hamil tersebut.Jika si pesalah degil dan tidak mahu melakukan demikian sehingga berlaku sesuatu yang tidak baik ke atas perempuan hamil tadi seperti menyebabkan kematian, maka si pesalah ini akan dikenakan undang-undang bangun atau "sonsal".

Adat Sonsal ini ialah:

  1. 80 sanang atau RM24,000.00
  2. 40 sanang atau RM12,000.00
  3. 2 ekor kerbau sebagai ganti nyawa

Jika si pesalah tidak dapat membayar adat ini, maka si pesalah akan didakwa di Mahkamah Anak Negeri dan boleh dipenjarakan sehingga 5 tahun jika sabit kesalahan.