Hukum Adat Perempuan yang bersalin di rumah orang lain secara sengaja atau tidak

Adalah menjadi pantang larang bagi suku kaum rungus jika seorang perempuan melahirkan anak di rumah orang lain . Menurut adat istiadat suku kaum Rungus, melahirkan anak di rumah orang lain adalah tidak baik kerana perempuan bersalin akan mengeluarkan darah yang banyak. Inilah yang dikatakan "Kariva" atau "Karintad do paganakan di' sanganu do valai"(alamat tidak baik bagi zuriat seisi rumah).

Sesiapa yang melakukan hal ini akan dikenakan adat Katingaladan iaitu 1 ekor ayam jantan untuk sogit kogikalan (berteduh) kepada tuan rumah seandainya bayi yang dilahirkan itu selamat dan hidup.

Seandainya bayi tersebut mati, perempuan berkenaan haruslah membayar adat Karivaan iaitu 1 buah tawag,1 ekor babi atau kambing dan pulanut pukadou sebilah parang.

Kesemua barang-barang ini haruslah dilunaskan pada hari tersebut juga kerana tidak boleh melanggar adat.


Hukum Adat Perempuan yang bersalin di rumah orang lain secara sengaja atau tidak
(mengandung tanpa suami)

Hukuman bagi kes ini agak berat sedikit kerana akan dikenakan sogit kepanasan. Sogit kepanasan ini disebabkan anak yang dilahirkan itu adalah hasil daripada perzinaan.Maka dengan itu 'kepanasan' tersebut harus disejukkan dengan 'sogit' (sejuk) untuk menolak bala penyakit dan membuang sial.

Adat yang dikenakan ialah denda 1 ekor babi besar untuk sogit, 1 buah sanang betukul untuk pulanut dan sebilah parang untuk peralatan yang kesemuanya diberikan kepada tuan rumah.

Sebagai sukud (perlindungan nyawa) kepada Ketua Kampung perempuan tersebut hendaklah memberikan 1 buah gadur dan 1 ekor ayam kerana beliaulah yang membicarakan hal ini.