Adat Kematian Suami/Isteri

Menurut adat istiadat suku kaum rungus, jika berlaku sama ada suami atau isteri yang meninggal dunia maka suami atau isteri yang masih hidup haruslah menurut arahan dari orang tua-tua semasa hari pengebumian dan ketika Mogukas atau Lumuvas(kenduri kematian) dijalankan.

Suami atau isteri yang masih hidup ini diberi amaran dan Lapik Banda. Dia tidak dibenarkan bercampur gaul dengan orang ramai seperti menari sumundai mongigol ketika hari Mogukas atau Lumuvas.

Suami atau isteri yang masih hidup ini akan diperintahkan oleh orang tua-tua supaya semua pakaian si mati yang tidak dibawa bersama ketika hari pengebumian disimpan dengan rapi dan dimasukkan ke dalam peti atau dibungkus. Perbuatan ini dinamakan Dompihot dalam bahasa Rungus.

Seterusnya, pakaian si mati tadi tidak boleh dibuka sembarangan sebelum tiba masa yang diberitahu oleh orang tua-tua kelak.Kemudian suami atau isteri yang masih hidup ini diarah untuk membuat tapai (sejenis arak dibuat dari beras) di dalam tempayan kecil yang dipanggil tulidan. Dia tidak dibenarkan berpakaian menarik sehingga selesai Mogukas atau Lumuvas.

Setelah beberapa hari, suami atau isteri yang masih hidup ini dikehendaki menyediakan 1 ekor babi besar atau kecil, beras dan barang-barang lain yang dirasakan perlu untuk roh si mati.Apabila tiba masa yang dirasakan sesuai, maka ketua kampung,bobolian dan semua waris si mati dijemput untuk menyaksikan pembinaan pondok penyembahan.Upacara ini dipanggil Pemanapakan Sumbingan.

Setelah selesai pembinaan pondok, maka babi yang telah disediakan itu pun ditangkap untuk disimpan di pondok tersebut. Sebelum hal ini dilakukan, kubur si mati terlebih dahulu dibersihkan pada petang sebelum hari Pemanapakan Sumbingan ini.

Babi yang sedia ada di pondok penyembahan disembelih lalu dimasak. Kemudian, sedikit daging yang dimasak itu diambil untuk dibawa ke kubur si mati bersama tapai dalam tulidan, mangkuk,pinggan dan gelas yang telah disediakn oleh suami atau isteri yang masih hidup.
Kedua-dua waris dari suami dan isteri dikehendaki berhimpun di tanah perkuburan. Orang ramai yang bersimpati dengan si mati turut berada di perkuburan itu bagi tujuan memberi penghormatan buat kali terakhir kepada si mati.Mereka akan makan dan minum di atas kuburan si mati kemudian memecahkan kesemua barang yang dibawa dari rumah seperti tempayan, pinggan, mangkuk dan gelas di tempat itu.

Sesudah selesai penghormatan untuk si mati dilakukan, maka kesemua yang berada di kuburan harus pulang ke rumah keluarga yang mengadakan Lumuvas ini bagi upacara memukul gong dan menari sumundai mongigol.Untuk mengakhiri upacara , waris keluarga si mati harus menari sumundai mongigol. Setelah selesai tarian sumundai mongigol, maka suami atau isteri yang masih hidup ini telah bebas dari adat Dompihot.

Kemudian, barulah orang tersebut membayar adat todung kepada mertua atau waris si mati.Adat Todung ini berupa 1 gadul atau salapa.Adat kovolihan mato 1 sanang tinukul. Ini menandakan suami atau isteri yang masih hidup itu merupakan seorang duda atau balu. Dalam bahasa Rungus ianya dipanggil Tulun do Napuadan.Maka orang yang dipanggil Tulun do Napuadan ini bolehlah berkahwin semula mengikut kerelaannya.