|
|
| Sekolah Menengah Teknik Sandakan ini ialah bekas Pusat Pertukangan
Khas Sandakan yang ditubuhkan pada awal tahun 1966 dengan 3 buah
bengkel dan 3 buah syarahan bagi kursus-kursus sambilan (part-time courses)
sahaja. Di sebelah pagi kelas-kelas Kepingan Logam adalah diberi kepada
pelajar-pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga yang datang dari 5
buah Sekolah Menengah di Residensi Sandakan. Di sebelah petang dan malam,
kelas-kelas sambilan adalah dibuka kepada pekerja-pekerja Swasta, Jabatan
Kerajaan dan Badan-badan Berkanun. Kursus-kursus yang diadakan ialah Kursus
Kajisawat Motor, Kursus Menggegas dan Memesin, Kursus Kimpalan, Kursus
Pendinginan dan Penyaman Udara, Kursus Pemaliman dan Kursus Penalaan Enjin.
Sejak tahun 1967 kursus-kursus penuh masa selama 2 tahun telah dimulakan beransur-ansur, iaitu mula-mula Kursus Kajisawat Motor pada tahun 1967 sahaja, kemudian diikuti oleh Kursus Binaan Bangunan pada tahun 1969 dan Kursus Perdagangan (selama 1 tahun) pada tahun 1971. Sejak tahun 1973, kursus-kursus Pertukangan telah ditukar kepada kursus penuh masa selama 3 tahun dan Kursus Perdagangan kepada 2 tahun dan nama sekolah juga ditukar kepada Sekolah Menengah Vokasional Sandakan. Di bawah Rancangan Malaysia Kedua, bangunan-bangunan tambahan sekolah siap dibina pada hujung tahun 1975 dan mula digunakan pada awal tahun 1976. Bangunan-bangunan tambahan fasa 2 ini mengandungi 6 buah bengkel, 2 buah bangunan asrama/bilik syarahan tiga tingkat dan sebuah bangunan dapur/dewan makan. Mulai tahun 1983, untuk menyelaraskan semua aspek dengan sekolah-sekolah Menengah Vokasional di Semenanjung, sistem penuh masa 2 tahun bagi semua kursus ketukangan telah dijalankan. Ini menyebabkan pengeluaran dua kumpulan sekaligus pada tahun 1984. Mulai tahun 1998, Sekolah Menengah Vokasional Sandakan mulai ditukar nama kepada Sek. Men. Teknik Sandakan.
|