SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI SABAH

                 SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN (1963-1988)

                              

                    PERKEMBANGAN DAN PEMBANGUNAN FIZIKAL

                     

                    Pada masa-masa awal kemerdekaan, usaha-usaha pembangunan pendidikan yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan adalah berdasarkan kepada polisi yang digubal oleh Lembaga Pendidikan Sabah. Kemudiannya apabila Jabatan Pendidikan diintegrasikan sepenuhnya dengan sistem persekutuan, polisi pendidikan kebangsaan telah diadaptasi dan digunapakai di Sabah. Bagaimanapun terdapat sedikit perbezaan di antara dua sistem ini. Secara dasarnya, polisi pendidikan kerajaan persekutuan adalah untuk i. Menyediakan tempat belajar bagi semua kanak-kanak dalam lingkungan umur belajar di sekolah rendah dan seterusnya di peringkat sekolah menengah, ii. Membangunkan kemudahan dan prasarana pendidikan, terutama di kawasan luar bandar dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan kemajuan dengan masyarakat bandar, iii. Membangunkan latihan vokasional di samping membangunkan kemudahan latihan perguruan, dan iv. Membangunkan kemudahan pendidikan serta perkhidmatannya dalam usaha untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan.

Sehingga itu, kerajaan persekutuan sejak tahun 1965, telah memperuntukkan sebanyak $982.15 juta melalui lima Pelan Pembangunan Malaysia. Ini adalah bukti sokongan dan komitmen kerajaan persekutuan terhadap pembangunan pendidikan di Sabah. Dalam analisis perbelanjaan bagi empat Pelan Pembangunan Malaysia, terdapat sedikit kurangan daripada jumlah peruntukan yang sepatutnya (19%). Ini disebabkan ia dibawa ke Pelan Pembangunan Malaysia yang seterusnya kerana terdapat sedikit kelewatan dalam pembangunan pendidikan di Sabah. Antaranya ialah kelambatan memperolehi tanah, masalah perhubungan dan sebagainya. Seterusnya prestasi perbelanjaan pembangunan telah meningkat kepada 89% pada akhir Pelan Pembangunan Malaysia keempat.

Satu ciri yang menonjol dalam Pelan Pembangunan Malaysia ketiga dan keempat ialah perbelanjaan yang banyak dalam program-program pembangunan kemudahan pendidikan terutama sekali di kawasan luar bandar. Dalam tempoh sepuluh tahun tersebut, sebanyak 128 buah sekolah rendah, 24buah sekolah menengah dan 3 buah sekolah vokasional telah dibina. Selain daripada itu, dua buah maktab perguruan juga telah siap dibina di Sandakan dan Keningau. Pendidikan melalui radio dan televisyen juga telah diperkenalkan bersama-sama dengan pembekalan alat radio, TV dan generator. Usaha-usaha ini juga diteruskan dalam Pelan Pembangunan Malaysia kelima dengan pengwujudan pusat-pusat sumber di peringkat sekolah dan daerah di seluruh negeri. Walaupun terdapat sedikit kemelesetan eknonomi  yang menjejaskan negara, tetapio Kerajaan Persekutuan telah meneruskan usaha pembangunan pendidikan di negeri ini. Dalam masa Pelan Pembangunan Malaysia yang kelima, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak $306.72 juta bagi pelbagai program pembangunan pendidikan di negeri ini.

Muka 1..

MENU UTAMA