SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI SABAH

                 SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN (1963-1988)

                              

                    PENGENALAN

                      Sebelum kedatangan orang Eropah, tidak banyak catatan tentang pendidikan di    Sabah.Bagaimanapun oleh kerana terdapat segelintir ahli masyarakat yang tahu berbahasa Melayu maka diandaikan bahawa tentu terdapat pusat-pusat madrasah di sepanjang pantai barat yang majoriti penduduknya adalah muslim.

Pada tahun 1883, sebuah sekolah telah dibuka di Sandakan oleh pihak misionari Roman Katolik. Pada masa yang sama juga sebuah lagi sekolah ditubuhkan di Inobong Penampang oleh pihak yang sama dan sehingga awal abad ke-20, terdapat tujuh sekolah mission yang diselenggarakan oleh pihak misionari Roman Katolik serta Anglikan di Sabah. Peranan kerajaan untuk terlibat sama dalam penyediaan pendidikan hanya bermula pada tahun 1915 apabila sekolah rendah pertama dibuka di Kota Kinabalu yang pada masa itu dikenali sebagai Jesselton. Sehingga tahun 1926, pendidikan sekolah rendah telah dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Cina dan juga bahasa Kadazan. Pada masa tersebut bilangan sekolah rendah adalah sebanyak 89 buah dengan jumlah murid sebanyak 3,142 orang.

Semasa Perang Dunia Kedua, pelaksanaan pendidikan masih lagi diteruskan tetapi kurikulumnya adalah berdasarkan kepada falsafah Jepun. Pengajaran bahasa Jepun adalah diwajibkan dan sebarang pengaruh barat tidak dibenarkan. Bagaimanapun keadaan ini berubah setelah kekalahan pihak Jepun pada tahun 1945. Seterusnya pengaruh British dalam bidang pendidikan bertapak semula. Pada tahun berikutnya, Sabah telah menjadi tanah jajahan British dan seorang pengarah pendidikan kemudiannya dilantik. Seterusnya pelan pendidikan lima tahun telah digubal dan dilaksanakan semasa tempoh 1947 1952. Antara perkara yang ditekankan dalam pelan pendidikan ini adalah, i. enam tahun pendidikan sekolah rendah untuk semua, ii. pembenterasan buta huruf, iii. pendidikan kesihatan dan pertanian, iv. pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan v. latihan vokasional. Dalam sistem pendidikan berkenaan, bahasa Inggeris diberikan kedudukan yang istimewa.

Tahun-tahun 1950-an menampakkan satu perkembangan yang baru dalam pendidikan di Sabah. Pada masa-masa ini,  Lembaga Pendidikan Sabah dan lembaga-lembaga pendidikan di peringkat  daerah telah ditubuhkan. Antara fungsi lembaga-lembaga ini adalah untuk memberikan nasihat serta laporan kepada pihak kerajaan tentang segala pertanyaan terhadap polisi, kandungan peraturan-peraturan serta apa-apa perkara yang menjejaskan perkembangan pendidikan di Sabah. Pada lingkungan masa ini juga, sebuah sekolah menengah pertama telah ditubuhkan, iaitu Maktab Sabah yang terletak di Kota Kinabalu. Seterusnya pada akhir era kolonial iaitu pada tahun 1963, terdapat 489 sekolah rendah dan 30 sekolah menengah dengan jumlah murid sebanyak 63,482 di sekolah rendah dan sebanyak 6,575 murid di sekolah menengah. Selain daripada itu, pada masa itu juga terdapat sebuah sekolah perdagangan dengan jumlah pelajar sebanyak 147 orang.

Setelah menyertai Malaysia, pendidikan di Sabah telah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Perihal pendidikan ini terkandung dalam Akta Pendidikan (1961) yang kemudiannya dikembangkan ke Sabah pada tahun 1976.

Dalam tempoh 25 tahun itu (1963 1988), bidang pendidikan di Sabah memperlihatkan perkembangan serta perubahan  yang mengkagumkan. Antara perubahan yang paling penting dalam tempoh tersebut ialah pendemokrasian pendidikan yang bererti pendidikan secara percuma dan bersifat serwajagat. Perubahan ini amat ketara apabila terdapat pertambahan bilangan murid yang ramai, iaitu pada tahun 1963 dengan hanya 70,057 murid sahaja tetapi telah meningkat kepada 326,254 pada tahun 1988. Pertambahan bilangan murid ini memperlihatkan pertambahan hampir lima kali ganda. Masa-masa ini juga memperlihatkan perubahan bahasa pengantar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu kecuali sekolah rendah Cina. Bagaimanapun, tahun 1983 merupakan titik penting dalam perkembangan pendidikan apabila kerajaan melaksanakan kurikulum baru di sekolah rendah. Seterusnya pengenalan kurikulum yang baru juga dilaksanakan di sekolah menengah pada tahun 1988. Kurikulum baru ini amat penting kerana ia adalah berlandaskan kepada falsafah pendidikan yang berorientasikan masyarakat dan negara bangsa Malaysia.

Muka 2..

 

MENU UTAMA