NOTA TINGKATAN 5

 

HADIS

 

1. KEHIDUPAN DI DUNIA IBARAT SEORANG PERANTAU

 

(Hadis Riwayat Bukhari)

Maksudnya: Daripada Abdullah Ibn Umar Radiyallah 'Anhuma, katanya: Rasulullah S.A.W.memegang bahuku seraya bersabda: Jadilah di atas dunia ini sebagai seorang perantau. Ibn Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah tunggu menjelangnya waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi,jangan tunggu menjelangnya waktu petang. Gunakan peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan matimu.

 

 

 

 

1.       Intisari:

Rasulullah S.A.W. mengajar kita supaya menganggap dunia ini sebagai tempat  persinggahan. Hidup yang kekal abadi hanyalah di akhirat nanti. Kehidupan kita ibarat kehidupan seorang perantau yang singgah di tempat persinggahannya untuk mengumpul bekalan buat perjalanannya yang masihjauh. Kita hendaklah mengambil peluang semasa kita masih sihat dan masih hidup untuk mengumpul bekalan akhirat. Sebagai seorang Muslim, kita mestilah menghargai masa dan tidak melengah-lengahkan urusan yang baik.

 

2.       Kehidupan Di Dunia Adalah Sementara

         Tempoh kehidupan di dunia terlalu singkat berbanding di alam akhirat yang kekal abadi.

         Dunia merupakan tempat manusia mencari bekalan untuk hari akhirat.

         Antara bekalan atau amalan tersebut ialah seperti ilmu, ibadat, sedekah jariah, dan seumpamanya.

         Manusia tidak wajar leka dengan keseronokan di dunia hingga melupakan kehidupan akhirat yang lebih berharga.

         Kedudukan manusia sama seperti seorang perantau yang tidak boleh leka dengan keseronokan di tempat persinggahannya hingga lupa kepada destinasi yang masih jauh.

 

3.       Teknik Pengurusan Masa Yang Efektif

Pengurusan masa secara efektif boleh dilakukan dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:

a.       merancang penggunaan masa:

       kita mestilah memperuntukkan masa untuk bersolat, membaca buku, mengulang kaji pelajaran, menyelesaikan kerja rumah, membantu ibu bapa, beriadah dan berehat.

       kita wajib menjauhi aktiviti-aktiviti tidak berfaedah seperti melepak dan berpeleseran.

       untuk menjadikan pengurusan lebih efektif dan sistematik, hendaklah menyediakan jadual waktu yang tersusun.

b.       mengurus masa dengan bijak:

       kita mestilah menggunakan waktu dengan perkara-perkara yang berfaedah

       semasa berada di dalam kenderaaan atau perhentian bas umpamanya kita boleh membaca buku, nota, akhbar, bacaan lain yang berfaedah.

       jika kita tidak menggunakan waktu tersebut dengan sebaiknya kita akan menghadapi kerugian.

c.       menentukan wawasan hidup:

       menentukan wawasan hidup adalah perkara penting kerana ianya menentukan matlamat dalam kehidupan kita.

       orang yang tidak berwawasan akan membuang masanya tanpa sebarang matlamat dan tujuan.

       dengan wawasan, kita akan mendisiplinkan diri kita dan menggunakan semula kualiti penggunaan masa yang telah kita lalui.

       untuk mengukur pencapaian wawasan kita hendaklah menggunakan diari merekodkan aktiviti harian kita.

       pengurusan masa secara efektif adalah faktor terpenting kejayaan tokoh-tokoh dunia.

 

4.       Keburukan Menangguhkan Sesuatu Urusan

1.       Orang yang menangguhkan sesuatu urusan akan memberi kesan negatif kepada diri, masyarakat,dan negara.

 

2.       Antara kesan negatif menangguhkan sesuatu urusan ialah:

a.       hidup dalam keadaan resah dan gelisah kerana menghadapi tekanan daripada majikan

b.       hasil kerja yang diperoleh tidak berkualiti dan akan menjejaskan nama syarikat dan sebagainya

c.       produktiviti sesebuah syarikat akan menurun. Ini akan menjejaskan ekonomi sesebuah negara

d.       pembangunan sesebuah negara akan berjalan dengan perlahan. Ini akan menyebabkan negara ketinggalan dalam arus perdana dunia