|
LATAR LATAR TEMPAT 1. Kampung Dataran - Pak Salleh dan Mak Jamilah berhijrah ke kampung ini. Mereka membuka tanah hutan untuk dijadikan tapak rumah dan kebun. Kampung ini terletak berhampiran dengan hutan. 2. Rumah Pak Salleh - rumah yang menggunakan kayu daripada hutan dibina oleh Pak Salleh sendiri. Setelah mendapat hadiah wang daripada Eddie Jar, Pak Salleh memasang pagar elektronik dan siren di rumahnya. 3. Bilik tingkatan - di bilik ini Cikgu Murad menceritakan pengalamannya mendaki Gunung Itik dan menunjukkan gambar-gambar semasa dia menyertai ekspedisi ke Gunung Itik suatu ketika dahulu. 4. Bilik guru - tempat Hadi bertemu dengan Cikgu Murad. Hadi yang pada mulanya menarik diri daripada menyertai ekspedisi ke Gunung Itik telah menyatakan keinginannya untuk menyertai ekspedisi itu semula walaupun dilarang oleh ayahnya. 5. Kawasan hutan - di sinilah Hadi dan rakan-rakannya menyertai ekspedisi ke Gunung Itik. 6. Pondok di puncak gunung - di pondok ini Pak Salleh terjumpa akan jongkong emas kepunyaan Eddie Jar yang dirompak dari gudangnya. 7. Balai polis - di balai inilah Pak Salleh membuat laporan tentang jongkong emas yang ditemukan di sebuah pondok. Di balai ini juga Cikgu Murad ditahan polis kerana disyaki melakukan rompakan jongkong emas. Di balai polis ini juga kekeliruan Pak Salleh tentang perompak yang wajahnya mirip wajah Cikgu Murad dapat diselesaikan.
LATAR MASA 1. Peristiwa dalam novel ini berlaku pada zaman sekarang. 2. Petang - Pak Salleh berbual dengan Hadi dan melarang Hadi daripada menyertai ekspedisi ke Gunung Itik yang diketuai oleh Cikgu Murad. 3. Malam - ketika berkhemah di tengah hutan, Hadi mengigau dan menjerit-jerit hingga membangunkan semua anggota ekspedisi yang lain. 4. Subuh - Hadi berbual-bual dengan Pak Musa sambil minum air panas. Kemudian, mereka bersama-sama menunaikan solat subuh. 5. Siang - orang ramai berkunjung ke rumah Pak Salleh apabila berita tentang Pak Salleh membantu pihak polis menangkap kumpulan pencuri jongkong emas tersiar di akhbar.
LATAR MASYARAKAT 1. Masyarakat desa, iaitu Kampung Dataran yang bekerja sebagai petani dan pemburu. 2. Masyarakat penyayang. Contohnya, Pak Salleh dan Mak Jamilah sangat sayang anak tunggal mereka, Hadi. 3. Masyarakat yang mementingkan pelajaran. Contohnya, Pak Salleh menyuruh Hadi belajar dengan bersungguh-sungguh kerana akan menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. 4. Masyarakat yang mengenang jasa. Contohnya, Eddie Jar sangat gembira kerana jongkong emasnya yang dirompak telah ditemukan semula. Oleh itu sebagai mengenang jasa Pak Salleh yang memberikan maklumat, dia memberikan hadiah dalam bentuk wang tunai kepada Pak Salleh. 5. Masyarakat yang menghormati orang tua. Contohnya, Hadi dan rakan-rakannya senantiasa menghormati Pak Musa dan Cikgu Murad. 6. Masyarakat yang mempunyai pantang larang di hutan. Contohnya, Pak Musa segera menegur Hadi yang bercakap celupar ketika berada di hutan. 7. Masyarakat yang bekerjasama. Contohnya, semua anggota ekspedisi senantiasa bekerjasama. 8. Masyarakat yang bertindak terburu-buru. Contohnya, Pak Salleh segera menuduh Cikgu Murad penjenayah setelah dia terserempak dengan lelaki yang mempunyai wajah mirip Cikgu Murad di dalam hutan. Dia tidak menyiasat hal itu terlebih dahulu. |