Pendidikan menengah bertujuan untuk mempertingkatkan pembangunan murid-murid dengan membantu mereka memperolehi ilmu, wawasan dan kemahiran, menyemai nilai Falsafah Pendidikan Negara dan menekankan pendidikan seumur hidup.

Bahasa pengantar pendidikan menengah ialah Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris diajarkan sebagai bahasa kedua. Walau bagaimanapun, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Pribumi yang lain juga diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan. Di bawah Akta Pendidikan 1996, bahasa asing seperti Bahasa Arab, Bahasa Jepun, Bahasa Perancis dan Bahasa Jerman diperkenalkan di sekolah menengah. 

Peringkat Menengah Rendah (Dari Tingkatan I ke Tingkatan III)

Peringkat ini merangkumi masa tiga tahun (Tingkatan I ke Tingkatan III). Murid-murid dari sekolah kebangsaan memasuki Tingkatan I, manakala murid-murid dari jenis kebangsaan Sekolah Cina dan Tamil kelas peralihan (Remove Class) selama setahun sebelum memasuki Tingkatan I. Kelas peralihan adalah untuk murid-murid memperolehi kecekapan di dalam Bahasa Malaysia yang menjadi bahasa penghantar di sekolah menengah.

Selaras dengan kepentingan sains dan teknologi dalam pembangunan negara murid-murid diberi pendedahan awal mengenai pendidikan vokasional melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu. Komponen utama yang terkandung dalam mata pelajaran ini ialah Kemahiran Manipulatif, Perdagangan dan Keusahawanan serta Pendidikan Kekeluargaan.

Setelah tamat tiga tahun, murid-murid dikehendaki menduduki peperiksaan am iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR). Peperiksaan ini merupakan gabungan antara pemusatan dan penilaian oleh sekolah berkenaan. Penilaian yang dibuat oleh sekolah mestilah mengikuti garis panduan yang ditentukan oleh Lembaga Peperiksaan sesuai dengan polisi pendidikan menengah selama lima tahun untuk semua, PMR bukan dianggap sebagai peperiksaan penggal, tetapi lebih kepada penilaian diagnostik. Dengan itu, jangka masa pendidikan untuk semua telah dipanjangkan dari sembilan ke sebelas tahun.

Peringkat Tinggi Menengah (Tingkatan IV ke Tingkatan V)

Pendidikan pada peringkat tinggi menengah merangkumi dua tahun. Melalui rancangan pendidikan umum pada peringkat ini murid-murid memulakan pengkhususan di dalam bidang sastera, sains, teknikal, vokasional atau keagamaan. Sekolah tertentu telah dibina khusus bagi setiap bidang yang berkenaan. Sekolah-sekolah tersebut adalah seperti sekolah akademik, sekolah teknikal, sekolah vokasional dan sekolah agama.